Views

Isu Palestin Bukan Sahaja Isu Agama, Malah Isu Kemanusiaan Yang Wajar Dijadikan Iktibar – Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Sarawak

Sehingga kenyataan media ini ditulis, seramai lebih 7700 orang telah mati di Gaza dan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak dan kaum wanita. Pembunuhan beramai-ramai yang didalangi oleh Kerajaan Haram Yahudi, Israel dan didukung oleh Amerika Syarikat saban tahun menjadi topik yang menyayat hati kepada mana-mana individu yang mempunyai perasaan empati dan perikemanusiaan. Pembunuhan jiwa manusia di Gaza dan wilayah diduduki Israel di Tebing Barat bukan sahaja dilihat dari aspek keagamaan malah aspek kemanusiaan yang menjadi tunjang kepada keharmonian sejagat usai Perang Dunia Kedua sejak 80 tahun dahulu.

Selama 75 tahun pendudukan Israel di Gaza, masih berbekas kepada orang Islam pembunuhan menyayat hati di Sabra dan Shatilla pada 41 tahun lalu. Kini tumpuan dunia beralih ke Gaza sebuah kawasan 360 km persegi dengan kepadatan 2.3 juta orang penduduk hampir menyamai jumlah penduduk di Sarawak yang dilaungkan sebagai negeri harmoni dengan kepelbagaian penduduk berbilang bangsa.

Walau bagaimanapun gelaran harmoni tersebut mula dipersoalkan dengan beberapa tindakan tidak wajar beberapa pihak yang seolah-olah menafikan kemanusiaan sejagat harus bermula di sekolah. Pada 21 Oktober 2023 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Makluman memohon semua institusi pendidikan di bawah kelolaan mereka untuk mengadakan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November 2023. Program ini antara lain melibatkan penyertaan murid di institusi pendidikan bertemakan keamanan dan kemanusiaan tanpa melibatkan unsur agresif dan ekstrem. Selain itu juga sumbangan tabung kemanusiaan Palestin juga diadakan secara sukarela dan tidak melibatkan paksaan bagi membantu mangsa kekejaman rejim Israel terutamanya di Gaza.

Namun, beberapa pihak di Sarawak melihat inisiatif ini sebagai tidak wajar malah pihak Pentadbir Sekolah-sekolah Mubaligh (Mission) membantah inisiatif tersebut dengan menggesa sekolah-sekolah Mubaligh Bantuan Kerajaan di bawah pengawasan mereka untuk tidak melaksanakan inisiatif baik tersebut. Ditambah dengan tohmahan yang sangat berat dihalakan kepada Pengarah Pendidikan Sarawak dengan menuduh Pengarah Pendidikan dengan sengaja berbohong bahawa pengeboman hospital Al-Ahli di Gaza pada 18 Oktober 2023 telah dimulakan oleh Israel:

“accusingly stated that the Al Ahli Hospital was bombed by Israel when the sad tragedy which killed hundreds of people was in fact – according to numerous reports – the result of a misfired missile from within Gaza itself.”

Sebaliknya kenyataan media mereka juga mengatakan, peluru berpandu pejuang Palestinlah yang tersasar di hospital tersebut mengakibatkan ratusan nyawa melayang. Sedangkan apa yang telah diberitakan dari kedua-dua pihak dan disaksikan oleh seluruh dunia, Israellah yang menyerang hospital tersebut.

Lantaran itu perkara tersebut mula mendapat perhatian beberapa pihak tertentu yang membangkang cadangan KPM termasuklah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan individu perseorangan. Di dalam surat makluman tersebut, Kementerian Pendidikan meminta isi surat tersebut hendaklah dilaksanakan dan tindakan beberapa pihak di Sarawak tersebut sangat bertentangan dengan Visi Kementerian Pendidikan untuk memastikan Insan Terdidik, Negara Sejahtera dilaksanakan dengan menyemai kebencian tanpa adab dalam beberapa siri kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berwenang.

Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan beberapa Pertubuhan Islam yang lainnya melihat isu ini mula mengakar dalam kalangan bukan Islam di Sarawak. Sindir-menyindir di dalam media sosial mula dapat dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan yang membelakangi adab dan budaya ketimuran. Orang Islam dilihat bersikap penyabar dan hanya membiarkan perkara tersebut dibahaskan secara terbuka di media sosial ditambah dengan tindakan beberapa wakil rakyat yang bersikap mengambil jalan selamat kononnya untuk menjaga hati beberapa pihak dalam masa yang sama umat Islam di Sarawak disindir dan ditohmah dengan pelbagai sindiran tajam yang dilihat mengeruhkan keharmonian tersebut.

Oleh yang demikian, PKMS dan Pertubuhan-pertubuhan Islam yang lainnya menyeru supaya pihak-pihak ini melihat inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak KPM dalam konteks yang lebih luas bukan setakat membawa isu agama, malah dilihat sebagai isu kemanusiaan yang wajar diambil perhatian. Berapa ramai jiwa yang menjadi korban dan mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang agama malah ramai juga dari kalangan bukan Islam. Kami menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Majlis Islam Sarawak dengan mengadakan munajat dan solat sunat hajat untuk kebaikan Palestin. Namun hak anak-anak sekolah untuk mengetahui apa yang berlaku sekeliling mereka tidak perlulah dinafikan atas nama toleransi sedangkan yang memikul tanggungjawab tersebut pada masa akan datang ialah anak-anak yang bakal dinafikan hak tersebut. Kita tidak mahu anak-anak ini menjadi mangsa kepada putar-belit fakta yang meragukan yang kini sedang giat dijalankan oleh media massa yang propenjajah Israel di media sosial dan media hiburan.

Isu Palestin bagi umat Islam sangat dekat baik dari segi akidah mahupun keadilan sejagat. Ia juga berkait dengan kesejahteraan umat Islam secara keseluruhan sebagai isu kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia moden. Biarlah umat Islam bersolidariti dengan niat untuk menyatukan hati dan memberi pengalaman luar bilik darjah yang berguna dalam mempromosi keamanan dan kemanusiaan. Semua agama di dunia inginkan kesejahteraan dan cinta kepada kedamaian. Kami menyeru semua masyarakat di Sarawak supaya sama-sama mengimbau apa yang berlaku di Palestin bukanlah isu agama semata-mata, ia merupakan tragedi kemanusiaan yang perlu dihentikan atas nama perikemanusiaan.

KENYATAAN BERSAMA:

1. Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)
2. Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS)
3. Yang Dipertua Persatuan Melayu Miri
4. Yang Dipertua Persatuan Melayu Limbang
5. Pengerusi Angkatan Belia Islam (ABIM) Sarawak
6. Pengerusi Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Sarawak
7. Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuching
8. Pengerusi Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak Cawangan Kuching
9. Pengerusi Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak Cawangan Samarahan
10. Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS)
11. Pengerusi Pertubuhan Pembangunan dan Lindungan Tanah Hak Melayu Sarawak (BAHAM)
12. Presiden Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
13. Presiden Halaqah Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM)
14. Pengerusi Hidayah Centre Foundation Sarawak
15. Pengerusi PEKDIS Sarawak
16. Aman Palestin Cawangan Sarawak
17. Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Petra Jaya
18. Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Samarahan
19. Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Miri
20. Pengerusi MyCare Sarawak
21. Pengerusi MyCare Kuching
22. Pengerusi I-Guru Sarawak
23. Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Musa’ad Deen Kuching
24. Pengerusi Persatuan Saudara Muslim Sarawak (ANSAR)
25. Pengerusi Persatuan Kemasyarakatan Muslimin Kuching
26. Pengerusi Kelab Bela Diri Kontemporari Kuching (BERUMBAK)
27. Pengerusi Kelab Tupong Ulu
28. Pengerusi Persatuan Warisan dan Sejarah Kuching (SAWAKU)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *