Views

SUHAKAM perlu corak naratif hak asasi ikut Perlembagaan – Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Ketika rakyat mula terdedah dengan wacana hak asasi, penggubalan, sejarah dan falsafahnya, semakin ramai tidak selesa dengan rangka kerja Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Suhakam ialah badan berkanun diperbadankan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), manakala ahlinya dikenali sebagai pesuruhjaya dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa isu membabitkan SUHAKAM menimbulkan keresahan umat Islam.

Pertama, dalam laporan tahunan pada 2018 menyatakan pematuhan kepada pengkelasan dua jantina secara tradisi menyebabkan diskriminasi terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelanggaran hak asasi.

Dalam bahasa hak asasi dan dalam konteks Malaysia, sudah tentu tradisi dirujuk adalah agama memandu dalam soal pengkelasan jantina.

SUHAKAM dalam laporan sama turut membela presiden sebuah badan advokasi gay yang menyatakan mukhayyam, iaitu program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai satu bentuk keganasan dalam membantah pendekatan agama untuk isu LGBT.

Masyarakat sekali dikejutkan dengan pernyataan pelacuran sebagai pekerjaan (yang sah) oleh seorang Pesuruhjaya SUHAKAM yang kemudian memohon maaf dan permohonan itu amat dihargai. Bagaimanapun kenyataan meminjam falsafah hak asasi digubal Majlis Hak Asasi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) adalah bertentangan dengan Islam dan agama lain di negara ini.

Beberapa kajian menunjukkan prinsip sedemikian atas dasar mengurangkan diskriminasi lebih berpihak kepada bapa ayam dan memerangkap wanita dalam industri pelacuran. Sudah tentu ibu bapa bimbang jika anak muda di institut pengajian tinggi mula berpegang kepada falsafah itu ketika kita bergelut dengan isu pelacuran alam maya.

Seterusnya SUHAKAM menawarkan kajian mengkaji Kebolehlaksanaan Pengiktirafan Jantina Ketiga di Malaysia. Proposal ini mengangkat idea gender ketiga seperti transgender dan non-binari ke arus perdana serta bertentangan dengan undang-undang syariah. Dalam laporan separuh penggal mereka untuk Instrumen Semakan Berkala Sejagat, SUHAKAM menyatakan semua undang-undang murtad syariah di negeri sebagai satu bentuk diskriminasi melanggar Perkara 8 Perlembagaan.

Semua perkara ini membuatkan kita tertanya-tanya apakah fungsi SUHAKAM mencorakkan identiti negara mengikut naratif hak asasi acuan Barat? Tidakkah mereka mengambil berat pandangan majoriti Muslim Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan pindaan undang-undang SUHAKAM kemukakan kepada badan instrumen hak asasi di Geneva?

SUHAKAM tidak perlu mengikut naratif hak asasi bulat-bulat seperti digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan instrumen pemantauan hak asasi seperti mekanisme Semakan Berkala Sejagat (UPR), Badan Perjanjian (Treaty Bodies), Konvensyen Hak Asasi dan Prosedur Khas yang merujuk kepada Prinsip Paris.

Pesuruhjaya SUHAKAM perlu mencorak naratif hak asasi mengikut acuan kita dan memberi input sewajarnya kepada PBB mengenai nilai kita untuk diintegrasikan. Selama ini yang mencorakkan nilai hak asasi di Majlis Hak Asasi PBB adalah negara sekular. Contohnya pada 2011, Ahli Jawatankuasa Majlis Hak Asasi diketuai Afrika Selatan dan majoriti negara Amerika Latin dan Eropah mengundi untuk luluskan resolusi 17/19 yang jadikan LGBT sebagai hak asasi, tetapi kita tidak pernah bersetuju.

Justeru, bilakah kita dapat menyampaikan naratif tidak bersetuju dengan LGBT kerana hak kesihatan, hak sosial dan hak beragama? Jika kita hanya akur tanpa naratif balas seolah-olah ini satu bentuk penjajahan baharu yang melakukan transformasi nilai hidup dan undang-undang atas nama hak asasi serta mempergunakan instrumen kerajaan sendiri.

Bagi umat Islam, kita perlu meyakini prinsip sekular hak asasi tidak akan harmoni dengan agama atau hak asasi itu mestilah neutral adalah dibina dengan salah tanggapan bahawa nilai Islam tidak bersesuaian dengan masyarakat antarabangsa.

Sangat menyedihkan jika pesuruhjaya Muslim kita turut menyuburkan tanggapan ini dan mengikut skrip Prinsip Paris secara kaku dengan menjadikan perjanjian dan konvensyen utama hak asasi sebagai kerangka kerja dalam SUHAKAM.

Selain Seksyen 4(4) Akta 597 membataskan SUHAKAM dalam memperjuangkan hak asasi menurut Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 setakat tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ada akta lain mengawal tindakan SUHAKAM.

Justeru, beberapa persoalan timbul seperti bolehkah pesuruhjaya membenarkan pegawai SUHAKAM mempromosi LGBT yang bercanggah dengan kehendak akta dan Perlembagaan Persekutuan?

Juga Seksyen 19(2) SUHAKAM adalah berhubung penerimaan dana asing – pihak berkuasa perlu menyiasat jika penerimaan dana asing SUHAKAM sama ada berkaitan aktiviti penyelidikan atau bukan, bertentangan dengan Seksyen (4) mereka sendiri.

Hakikatnya, status SUHAKAM sebagai badan berkanun tidak sepatutnya disalahgunakan bagi menyuburkan nilai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala
Sejagat (MACSA)
Presiden, Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Turut disiarkan dalam Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *