GORDON P Means menulis pada 1969 bahawa selepas terma ‘Melayu’ dimasukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja Melayu yang menerima petisyen permohonan untuk keluar agama, tidak membenarkannya kerana itu bermakna akan hilang kelayakan dan keistimewaan Melayu.
Hakim Faiza Tambi Chik (Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu), turut menyatakan bahawa orang Melayu tidak boleh keluar Islam dalam menolak rayuan Lina Joy (2001) yang memohon membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan, walaupun dapat menukar namanya.
Mahkamah Persekutuan sekali lagi menegaskan di Sarawak baru-baru ini, seperti ditegaskan dalam kes Lina Joy bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa menentukan status agama.
Enakmen pentadbiran agama Islam negeri menyatakan secara hitam putih bahawa antara bidang kuasa Mahkamah Tinggi adalah menentukan status agama seseorang. Wilayah Persekutuan, iaitu tempat kes Lina Joy, tidak menyatakannya dan begitu juga Sarawak.
Negeri yang ada pula, tidak semua membuat kaedah bagaimana untuk membantu Mahkamah Tinggi Syariah menjalankan kuasa ini. Tugas Mahkamah Tinggi Syariah sebelum membuat keputusan mengenai status agama seseorang, sepatutnya memastikan sama ada sesi nasihat akidah dilakukan dan sama ada ia berjaya atau gagal menasihat untuk kekal dalam Islam.
Jika berjaya, ia kekal sebagai Muslim, jika enggan kembali kepada Islam selepas diberi nasihat secukupnya, tiada paksaan boleh dikenakan. Itulah caranya untuk kita memberi makna kepada bidang kuasa ini.
Guna kaedah kaunseling
Mewujudkan kaedah bukan bermakna membuka pintu untuk keluar agama, tetapi mengambil tanggungjawab mengurus tadbir dengan baik. Kaedah bertaubat (istitabah), kaunseling, nasihat akidah yang ada di Negeri Sembilan boleh dijadikan contoh seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 (Pindaan 2009).
Terdapat kajian khusus di Negeri Sembilan yang dilakukan oleh Nor Asyikin Nasir dan Siti Zubaidah Ismail (2017) yang mendapati bahawa daripada 45 permohonan antara 2003 hingga 2014, sebanyak 29 kes ditolak dan 16 kes diluluskan.
Permohonan yang diluluskan selepas tatacara yang ketat dilalui dan setelah Mahkamah Tinggi Syariah berpuas hati dengan segala laporan yang dikemukakan oleh Unit Runding Cara Akidah, Jabatan Mufti dan juga keterangan pemohon.
Ini termasuk kes yang sudah melalui sesi nasihat akidah sebanyak 20 kali. Mahkamah Syariah kini berhadapan dengan kes permohonan keluar agama atau permohonan penentuan status agama daripada orang berikut.
Mereka ialah saudara baharu yang masuk Islam kerana berkahwin, kemudian bercerai dan ingin keluar Islam; anak yang ibu bapa Islam tetapi dibesarkan keluarga bukan Islam; celaru identiti kerana berstatus Islam sedangkan ibu bapa bukan Islam serta individu bukan Islam tetapi memiliki nama Islam dan berstatus Islam.
Mahu atau tidak, Mahkamah Syariah perlu menangani kes ini. Membuat kaedah keluar Islam sebahagian daripada tadbir urus (siasah syariah), bukan bermakna membantu untuk murtad, sebaliknya kerajaan melaksanakan penjagaan agama (hifz al-din) yang menjadi sebahagian maqasid syariah.
Di samping itu, ia juga menyekat terus (sad al-zara’ie) amalan membuat perisytiharan keluar agama menerusi ‘deed poll’ dan disahkan oleh pesuruhjaya sumpah. ‘Deed poll’ suatu ketika dahulu digunakan untuk menukar kad pengenalan, seterusnya berkahwin mengikut agama asal dengan pasangan bukan Islam dan sebagainya.
Ini sudah tidak berlaku kini terutama apabila keputusan Lina Joy, antara lain mengatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara berhak meminta surat perakuan keluar agama sebelum boleh membuang perkataan Islam dalam kad pengenalan.
Memahami realiti yang berlaku di lapangan dapat membantu kita memahami keperluan mewujudkan peraturan ini agar Islam tidak diperlakukan sewenang-wenangnya dan membentuk sikap kita melihat isu keluar agama yang amat sensitif ini secara menyeluruh.
Bekas Syeikh al-Azhar, Sheikh Muhammad Sayyed Tantawi pernah dilaporkan berkata, tindakan tidak perlu diambil kerana keluar Islam, namun apabila mereka menghina Islam atau cuba menghancurkan agama, barulah tindakan dikenakan.
Al-Quran menegaskan siapa keluar Islam akan diazab pada akhirat, namun tidak menjelaskan hukuman duniawi untuk murtad. Hadis bertaraf ahad (bukan sahih) menegaskan, orang keluar agama hendaklah dibunuh, manakala sarjana kontemporari berpendapat hukuman bunuh khusus untuk yang keluar Islam dan memberontak melawan agama dan pemerintah Islam.
Dr Majid al-Kindi, pegawai fatwa di Pejabat Fatwa, Kementerian Wakaf dan Hal-Ehwal Agama, Oman yang ditemu bual penulis, memaklumkan orang yang masuk Islam kemudian ingin keluar, atas alasan apa sekalipun, boleh dikatakan melakukan penghinaan terhadap Islam.
Ini turut diperakui pegawai di Dar al-Ifta’, Mesir yang memberikan pendapat sama apabila ditanya penulis mengenai masalah ini pada 2014.
Cabaran utama kita ialah untuk melihat peraturan selaras di antara negeri dan mewujudkan tatacara jelas supaya Mahkamah Syariah dapat menjalankan kuasa ada padanya sebaik mungkin. Untuk itu, kesepakatan semua pihak seperti pembuat undang-undang dan pihak berkuasa agama amat dituntut.
Penulis dari Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail
AJK Pusat MACSA.
*Also published in Berita Harian.