MACSA & WAFIQ memandang serius pengucapan secara terbuka dalam Dewan Rakyat semalam yang boleh dilihat jelik dan lucah oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah. Tindakannya bukan saja melanggar Peraturan 23 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tetapi juga merupakan suatu gangguan seksual seperti yang ditakrifkan dalam Akta Anti-Gangguan Seksual 2022 [Akta 840].
Takrifan Seksyen 2 Akta 840 memperuntukkan bahawa gangguan seksual adalah “sebarang kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya”.
Suatu tindakan tegas harus dikenakan ke atasnya agar menjadi isyarat bahawa masyarakat awam tidak boleh membiasakan pengucapan yang sumbang dan jelik serta berunsur lucah bagi memastikan gangguan seksual tidak terus berleluasa di dalam negara bangsa ini. Tanggungjawab membenteras gangguan seksual tidak hanya terletak di pundak rakyat semata-mata sebaliknya dilihat lebih berat ke atas pegawai tertinggi negara khususnya ahli parlimen yang menjadi landasan proses menggubal undang-undang negara. Mustahil Kedaulatan Undang-Undang dapat dijadikan pasak jati negara bangsa jika mereka yang dilantik untuk membahaskannya bersikap sumbang.
Dalam masa yang sama, kami turut mengecam gambar Tony Fernandes ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan Air Asia yang dilihat membaringkan tubuhnya ke atas pangkuan beberapa orang kakitangan wanita syarikat penerbangan terbabit. Gambar yang tular membuktikan kesedaran yang lemah di kalangan majikan dalam menghormati maruah dan kehormatan kakitangan wanita di tempat kerja sehinggakan masih ramai yang bersikap tidak peduli dan tegar melakukan aksi memualkan seumpama yang digambarkan.
Suka kami mengingatkan masyarakat awam, khususnya mereka yang berperanan mengelola sesebuah organisasi, bahawa negara bangsa kita mempunyai Akta 840 yang telah jelas mentakrifkan gangguan seksual. Malah takrifan ini juga mengikat pemakaian peruntukan di bawah Bahagian XVA Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang digubal khusus bagi mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual di tempat kerja.
Kami mendesak agar syarikat penerbangan yang terbabit mengambil tindakan tegas mendisiplinkan ketua pegawai eksekutif mereka bagi menunjukkan teladan yang lebih baik kepada kakitangan syarikat. Sebelum ini, gambar Tony Fernandes tidak berbaju ketika menghadiri mesyuarat pernah tular di media sosial dan telahpun mengundang pelbagai kecaman. Tindakannya kali ini jelas menunjukkan budaya organisasi yang tidak sihat sebegini perlu diubah.
Di samping itu, kami menyeru masyarakat awam agar mengambil serius isu gangguan seksual di tempat kerja dan melaporkan yang sama kepada pihak berkuasa sama ada kepada bahagian sumber manusia syarikat atau terus kepada pihak polis agar tindakan sebegini tidak dibiasakan dalam masyarakat madani yang meletakkan tertib dalam budaya negara bangsa ini.
Dalam advokasi WAFIQ mengenai isu gangguan seksual, antara desakan utama kami adalah agar suatu garis panduan yang konklusif dan realistik dapat digunapakai ke dalam semua kod amalan atau dasar di Malaysia supaya gangguan seksual, khususnya di tempat kerja, dapat dibasmi keseluruhannya. Kami melihat peripentingan adanya kerangka undang-undang dan garapan dasar yang menyeluruh bagi membenteras isu gangguan seksual di tempat kerja apabila saban tahun kami sering mendapat pelbagai aduan awam mengenai isu ini yang datang daripada pekerja yang telah atau pernah mengalami insiden sebegini di tempat kerja.
Antara aduan yang kerap diterima adalah daripada kakitangan syarikat penerbangan yang diganggu secara seksual. Ini selari dengan dapatan kajian oleh Universiti Harvard yang menunjukkan bahawa pramugari dan pramugari berhadapan dengan gangguan seksual yang teruk sama ada ketika penerbangan mahupun dalam persekitaran di tempat kerja mereka. Gangguan diterima baik daripada penumpang penerbangan, juruterbang mahupun rakan sekerja.
Insiden gangguan seksual yang rawak seharusnya dipandang serius dan dihentikan segera. MACSA & WAFIQ mendesak semua warga Malaysia untuk menentang gangguan seksual yang merendahkan maruah dan kehormatan diri rakyat negara ini.
KENYATAAN BERSAMA:
PROF DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Presiden, WAFIQ merangkap Pengerusi Bersama, MACSA.
FATIHAH ILIANI JAMHARI
Naib Presiden II, WAFIQ merangkap Setiausaha Kehormat, MACSA
Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) ialah pertubuhan masyarakat madani yang memperjuangkan hak wanita, kesejahteraan institusi keluarga dan pendidikan berkualiti.
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) ialah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.
Turut disiarkan dalam Berita Harian dan NST.