TERJEMAHAN
Pada 7 Disember 2017, Australia menjadi negara yang ke 24 mengiktiraf perkahwinan sejenis. Dalam pengundian di Parlimen, hanya 4 ahli Parlimen yang menentang. Rang undang-undang baru Australia hanya perlu menukar perkataan“the union of a man and a woman” atau penyatuan lelaki dan wanita kepada “the union of two people” atau penyatuan dua manusia.
Perkahwinan sejenis mula diiktiraf oleh negara-negara Barat hampir 20 tahun yang lalu. Negara Belanda adalah negara pertama berbuat demikian pada tahun 2000 apabila Parlimen mereka mengundi dengan nisbah yang menyokong adalah 3:1. Perundangan yang membenarkan pasangan sejenis hak untuk berkahwin, bercerai dan mengambil anak angkat ini dibuat hanya dengan mengubah satu ayat di dalam akta perundangan, iaitu “Perkahwinan boleh dijalankan oleh dua orang dari berlainan atau sama jantina”.
Iceland membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2010 dan Perdana Menteri mereka, Johanna Sigurdardottir, mengahwini pasangannya, Jonina Leosdottir, justeru menjadi antara pasangan lesbian pertama berbuat demikian di bawah perundangan baru tersebut. Di negara Denmark, dengan termaktubnya keizinan perkahwinan sejenis dalam perundangan, gereja Evangelical Lutheran yang merupakan gereja rasmi negara, di arahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis ini berlangsung di gereja-gereja, walaupun paderi-paderi tidak diwajibkan menjalankan upacara perkahwinan gay atau lesbian tersebut.
Prinsip sekularisasi sememangnya mendominasi keputusan negara-negara ini apabila bantahan gereja-gereja mereka tidak diambil kira dalam keputusan kerajaan. Bantahan Gereja Katolik terhadap Parlimen Malta tidak diendahkan, begitu juga bantahan Gereja Scotland dan Gereja Roman Katolik, dua gereja terbesar di Scotland gagal mempengaruhi Parlimen. Gereja England masih mengekalkan definisi perkahwinan sebagai penyatuan lelaki dan wanita ketika perdana menteri mereka David Cameron, membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2014.Bahkan tekanan demi tekanan ke atas penerimaan perkahwinan sejenis ini turut merubah prinsip beberapa gereja, seperti gereja The Lutheran di Sweden yang dianuti oleh 3/4 rakyatnya, yang telah menawarkan restu mereka kepada pasangan sejenis sejak Januari 2007.
Malaysia menghadapi agenda LGBT di arus perdana
Agenda membawa gaya hidup lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) ini telah mula dibawa ke arus perdana apabila majalah National Geographic edisi 2017 mempromosikan sebagai trend terkini dan menyatakan lebih 70 pilihan gender boleh ‘dipilih’ oleh masyarakat global. Pengguna Facebook mempunyai lebih 60 pilihan ‘gender’ sejak 2014.Syarikat Shell pula secara terbuka melalui FB antarabangsa mereka mewar-warkan ‘International Coming Out Day’ yang merupakan sambutan meraikan golongan LGBT pada 11 Oktober lepas.
Naratif penerimaan LGBT juga cuba dipaksakan seawal usia kanak-kanak. Saluran kartun The Disney Channel telah menyiarkan aksi bercium sesama jantina dalam rancangan Star vs The Forces of Evil. Gergasi filem Walt Disney pula menerbitkan filem Beauty and The Beast yang memasukkan unsur homoseksualiti. Ini disahkan oleh pengarahnya, Bill Condon melalui majalah homoseksual Britain, Attitude. Ini adalah usaha besar-besaran pendokong LGBT memaksa agenda mereka kepada anak muda yang mentah dengan suatu gaya hidup yang jauh daripada nilai agama Islam. Kita sudah tiba ke satu peringkat rancangan kegemaran anak-anak kita dipaksa membawa agenda LGBT jauh ke dalam hati nurani mereka.
Di Malaysia, sudah beberapa kali kita melihat ada ahli Parlimen yang cuba membawa naratif songsang ini ke tengah masyarakat. Pada 21 November lalu, Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang dalam Facebooknya sempena memperingati Hari Transgender pada 20 November menggesa agar badan perundangan Islam seperti JAKIM dan JAIS memberhentikan tindakan penguatkuasaan ke atas budaya songsang dan mahu kerajaan memansuhkan semua undang-undang dan peraturan yang dikatakan mendiskriminasikan golongan transgender. Sebelum ini, ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu mempengerusikan Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang pada 17 Mei 2016.
Hak Asasi LGBT vs Hak Beragama
Mematuhi agama dianggap oleh pihak pendokong LGBT sebagai mendiskriminasi, dan bukan lagi hak beragama seseorang manusia. Ini dibuktikan dalam kes seorang pengusaha kedai kek beragama Kristian, Jack Phillips yang menolak tempahan kek perkahwinan pasangan homoseksual di Colorado, Amerika Syarikat, kerana dekorasi dan mesej kek tersebut melanggar prinsip agama beliau. Pasangan homoseksual tersebut, Charlie Craig dan David Mullins telah mengenakan dakwaan terhadap beliau, dan pengusaha kek tersebut telah diputuskan bersalah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Colorado kerana mendiskriminasi. Keputusan ini turut disokong oleh mahkamah negeri. Dalam kes kedua, mahkamah di Oregon memutuskan pasangan Kleins yang mempunyai kedai kek didenda 135 ribu dollar kerana menolak untuk menyediakan kek perkahwinan sepasang pasangan lesbian . Alasan pasangan Kleins adalah sama seperti Jack Phillips, bahawa menyediakan kek perkahwinan tersebut menyalahi prinsip agama yang dianutinya.
Kes ini jelas memaparkan bahawa hak asasi satu kelompok minoriti berupaya menjejaskan hak asasi beragama majoriti.
Perlembagaan Malaysia memelihara Maqasid Syariah
Perlembagaan Malaysia menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam artikel 3(1). Keistimewaan Islam sebagai struktur asas Perlembagaan adalah sebagai asas teguh bagi memelihara dan mengawal selia segala tindak-tanduk umat Islam, baik dalam perkara yang melibatkan undang-undang peribadi, muamalat, sosial, ataupun perihal jenayah yang melibatkan pelaku Muslim.
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kesamarataan semua di sisi undang-undang dan tidak boleh ada perbezaan oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina. Perlembagaan kita menyebut “jantina” merujuk kepada perbezaan seks biologi lelaki dan perempuan sahaja. Walaupun begitu, perkara 8(1) bukanlah suatu hak yang mutlak oleh kerana perlembagaan dan undang-undang masih membenarkan beberapa bentuk pengehadan hak yang munasabah, sebagai contoh seperti yang pernah diputuskan mahkamah di dalam kes Datuk Haji Harun Idris v Public Prosecutor [1977] 2 MLJ 155.
Di samping itu Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian)1976 atau Law Reform Act (Marriage and Divorce) 1976 Section 69 (d) memperuntukkan klausa yang menyatakan “Perkahwinan selepas dari Tarikh 1 Mac 1982adalah terbatal jika pihak terbabit bukan lelaki atau wanita”.
Dalam Islam, struktur keluarga adalah amat penting dan ini termaktub dalam Maqasid Syariah darihal pemeliharaan nasab “hifz nasb”. Perkahwinan secara dasarnya adalah untuk menghasilkan zuriat melalui nasab keturunan yang jelas, bukan melalui ibu tumpang yang biasa diamalkan oleh pasangan sejenis.
Dalam satu lagi prinsip Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan nyawa atau “hifz nafs”, nyata larangan bagi umat Islam dari terjerumus dalam kancah LGBT mempunyai asas yang kukuh. Pada awal bulan Disember 2017, kita dikejutkan dengan fakta daripada Sektor jangkitan HIV dan penyakit bawaan seksual (STI), Bahagian Kawalan Jangkitan Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa kes – kes baru HIV lebih tinggi dikalangan homoseksual (gay, biseksual dan transgender). Dan daripada 1553 kes baru di kalangan mereka yang mengamalkan homoseksualiti, 40% adalah di kalangan pemuda berumur 19 hingga 29 tahun, kebanyakannya pelajar manakala 31% terdiri daripada golongan profesional berumur di antara 30-39 tahun. Golongan muda kita yang menjadi harapan bangsa negara, adalah golongan yang ramai terjebak.
Prinsip Islam, dalam menegah amalan sekd songsang, sebenarnya memelihara hak asasi kedua-dua kelompok minority dan majoriti.
Inilah prinsip yang sewajarnya mendapat perhatian kesemua lapisan masyarakat, terutama ahli-ahli parlimen kita dalam merangka sesuatu polisi, agar tidak terikut-ikut dengan kempen atau falsafah kebebasan hak asasi dari Barat yang tidak berpaksikan keluhuran agama dan tidak dapat diterima oleh rakyat Malaysia.
KENYATAAN BERSAMA:
Azril Mohd Amin ialah ketua eksekutif Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) dan pengerusi MACSA
Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar ialah presiden International Women & Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan pengerusi bersama MACSA
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.