Press Statements

Tolak anasir Islamofobia dalam arus perdana

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun ini mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Islamofobia Sedunia. Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) mengalu-alukan pengiktirafan ke atas permasalahan kebencian terhadap umat Islam ini yang menyebabkan mereka menjadi mangsa prejudis, stereotaip dan diskriminasi.

Islamofobia turut berlaku di Malaysia, tetapi malangnya kesedaran menentang Islamofobia masih rendah dan banyak pihak termasuk umat Islam sendiri memandang enteng terhadap perkara ini.

Tanpa disedari, lslamofobia menjadi satu dogma yang diterima dalam kehidupan seharian sehingga tidak menyedari ia semakin meluas.

Masyarakat sudah terlalu lama dibanjiri berita memberi gambaran buruk dan menakutkan terhadap Islam sehingga ia mengaburkan garis nilai manusia serta melumpuhkan deria penentangan terhadap Islamofobia.

Sebagai contoh, media berita Barat menggunakan kaedah diskriminasi dan berpilih melaporkan jenayah kejam membabitkan orang Islam. Media menjadikan paparan berita menyentuh agama bagi seorang Muslim melakukan jenayah. Namun apabila ia dilakukan bukan Muslim, agama dan ideologi mereka tidak dinyatakan.

Gaya laporan ini sangat ketara dalam liputan jenayah keganasan. Ia berjaya mewujudkan persepsi dalam pemikiran orang ramai kononnya orang Islam adalah ganas dan sering terbabit dalam banyak perlakuan keganasan, Tetapi persepsi ini jauh dari fakta sebenar.

Kajian Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) pada Jun 2020 melaporkan lebih daripada
25 tahun insiden keganasan domestik di Amerika, kebanyakan serangan dan plot adalah penyerang berhaluan kanan (bukan Islam).

Trend ini meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang mana kumpulan ini bertanggungjawab sekitar 66 peratus serangan dan plot pada 2019 serta 90 peratus daripada mereka pada 2020.

Namun begitu, Islam masih dipersalahkan dalam kebanyakan serangan keganasan terbabit. Walaupun tidak menafikan ada segelintir umat Islam terbabit, tetapi mengaitkan semua jenayah dan insiden keganasan dengan agama Islam atau orang Islam adalah satu bentuk kebencian serta tindakan salah.

Terdapat berbilion umat Islam tidak menyedari kewujudan jenayah seumpama itu dan tidak masuk akal untuk mengaitkan kesalahan berkenaan kepada orang Islam yang kebanyakannya cintakan kedamaian dan mematuhi undang-undang.

Implikasi daripada laporan media memburuk-burukkan Islam ini dapat dilihat dengan jelas melalui tindakan diskriminasi negara Barat dan Eropah dalam menangani pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Sebagai contoh, apabila Russia menceroboh Ukraine, Barat jelas memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk membela hak rakyat Ukraine mempertahankan negara mereka. Pelbagai tindakan dan sekatan ekonomi antarabangsa dikenakan ke atas Russia.

Namun, apabila Palestin diceroboh dan rakyatnya ditindas, dihalau dan diusir dari tanah mereka, tiada tindakan berkumpulan diambil negara Barat untuk membantu rakyat Palestin ditindas ini.

Liputan media Barat sebaliknya melaporkan tindakan daripada penyokong atau rakyat Palestin sebagai satu bentuk keganasan. Rejim Israel yang menindas dan menjajah, digambarkan pula sebagai mangsa.

Sikap pilih kasih, hipokrasi dan berpilih liputan media dan tindakan negara Barat selama ini bukan saja menyuburkan Islamofobia, tetapi mereka secara jelas bersifat perkauman dengan mewujudkan kasta bagi pelarian perang.

Justeru, sudah sampai masa semua pihak terutama orang Islam menolak dan menentang sebarang anasir Islamofobia yang wujud secara berstruktur dan sistematik dalam arus perdana. MACSA mengalu-alukan Hari Penentangan Islamofobia Sedunia dan akan terus menjadi wadah dalam menangani isu ini secara berkesan.

JOINT STATEMENT:

Lukman Sheriff Alias
Founder of Malaysian Lawyers Circle (MLC) and Chairperson, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA)

Associate Professor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
President of The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) and Co-Chairperson, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA)

MACSA is a coalition of civil society organisations with the specific aim and object to look into, as well as advocate, human rights issues in Malaysia for the UPR Process.

Turut disiarkan dalam Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *