TERJEMAHAN
Setiap tahun, tarikh ini diraikan sebagai Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa bagi memperingati perjuangan memartabatkan hak asasi orang kurang upaya (OKU). Meskipun Kerajaan Malaysia terus menzahirkan komitmen untuk menyantuni golongan rentan OKU, namun masih jauh perjalanan negara dalam memastikan OKU diberikan hak sewajarnya.
Malaysia telahpun menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) pada 8 April 2008 dan meratifikasi CRPD pada 19 Julai 2010. Peruntukan dan semangat CRPD telah digubal ke dalam perundangan negara melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] yang diwartakan pada 24 Januari 2008.
Peruntukan Akta 685 mentakrifkan OKU sebagai ‘mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat’. Bagi tujuan pendaftaran OKU pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat menyenaraikan 7 kategori OKU: i) pendengaran, ii) penglihatan, iii) pertuturan, iv) fizikal, v) pembelajaran, vi) mental, dan (vii) pelbagai.
Walaupun Akta 685 telahpun menggariskan panduan yang jelas tentang hak-hak golongan OKU ke atas kemudahan khas di tempat-tempat awam, hak pendidikan, pekerjaan dan maklumat di bawah Bahagian IV, namun semangat ‘Penggalakan dan Pembangunan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Orang Kurang Upaya’ masih kelihatan samar di Malaysia.
MACSA memandang serius laporan yang disampaikan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia – Pertis yang merupakan salah satu daripada 56 buah badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO) yang bernaung di bawah MACSA. Dalam tempoh pemantau PERTIS sejak Akta 685 diwartakan sehingga kini, tidak kurang daripada 7 insiden kemalangan di tempat-tempat awam melibatkan orang cacat penglihatan telah dilaporkan. Kesemua insiden membabitkan kegagalan syarikat penyedia dan pengendali pengangkutan awam mematuhi tatacara dan garis panduan yang telah dimaktubkan dalam Bahagian IV, Akta 685.
MACSA menyeru kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji dengan lebih terperinci kesulitan yang dihadapi oleh OKU di kawasan-kawasan awam bagi memastikan pematuhan sebenar peruntukan CRPD dan Akta 685. Kewujudan peruntukan undang-undang untuk memelihara hak asasi manusia golongan OKU hanyalah peruntukan kosong yang tidak efektif tanpa campur tangan Kerajaan dalam mendesak kesemua penyedia dan pengendali pengangkutan awam untuk menghormati tanggungjawab bersama kepada golongan OKU. MACSA turut mendesak pindaan segera kepada Akta 685 bagi memastikan peruntukan penguatkuasaan dan penalti dimasukkan ke dalam Akta 685 dan membolehkan sebarang pelanggaran di bawah Akta ini dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Seruan ini adalah sejajar dengan rekomendasi yang telah MACSA sampaikan kepada Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersekutu (UNOHCHR) melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva tahun lalu.
MACSA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa kepada semua aktivis OKU yang masih nekad memperjuangkan hak OKU. Ucapan khusus disampaikan buat aktivis PERTIS. Komitmen, daya cipta dan kecekalan PERTIS untuk terus menyumbang ke arah kebajikan dan manfaat golongan OKU cacat penglihatan menjadi inspirasi kepada ahli-ahli MACSA.
KENYATAAN BERSAMA:
LUKMAN SHERIFF ALIAS ialah Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.
PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.