Press Statements

Pengumuman Penyerahan Laporan Gabungan Ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, Geneva

Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Di Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) atau Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (ringkasnya MACSA) ditubuhkan pada 27 Oktober 2017 sebagai penzahiran permuafakatan 47 organisasi masyarakat sivil Islam (ICSO) dalam menyumbangkan idea, tenaga dan kepakaran masing-masing untuk mengoptimumkan penyertaan masyarakat sivil di dalam proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review atau UPR) bagi Malaysia yang masuk pusingan ketiga menjelang bulan November kelak.

Sidang Media pada hari ini diadakan untuk mengumumkan laporan pemegang kepentingan (Stakeholders’ Report) MACSA yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) (UNHRC). Laporan pemegang kepentingan ini akan dijadikan salah satu rujukan bagi melicinkan proses UPR bagi Malaysia yang dijangka akan diadakan pada minggu 5-16 November 2018.

Sidang Media ini juga berhasrat mengumumkan dua laporan penyelidikan oleh anggota gabungan MACSA, iaitu Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual di kalangan Wanita Bekerja di Malaysia oleh WAFIQ dan Isu Hak-hak Perumahan oleh CAPE.

Dalam menghasilkan laporan setebal 16 mukasurat ini, MACSA telah menyambung inisiatif ICSO semenjak 2013 dengan mengadakan siri latihan di Malaysia dan Geneva bagi memberikan pendedahan kepada para peguam, ahli akademik dan aktivis ICSO yang menyertai usaha ini. Selain itu, MACSA juga telah mengadakan siri perundingan bersama sebanyak mungkin ICSO melalui kerjasama pelbagai badan lain seperti Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Gabungan NGO Islam Negeri Sabah (CONCERN) dan Majlis Tindakan Dakwah NGO Islam Negeri Sarawak dan beberapa ahli akademik di universiti-universiti tempatan.

Di samping itu, MACSA telah terlibat di dalam beberapa siri perundingan bersama Wisma Putra bagi memberikan input terhadap usaha kerajaan melaksanakan syor-syor daripada pusingan kedua UPR pada tahun 2013, selain bertemu dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menyatakan pendirian kami mengeni isu-isu berkaitan usaha penambahbaikan situasi hak asasi manusia di Malaysia.

MACSA telah memutuskan untuk memberikan penumpuan pada 7 tema utama di dalam laporan pemegang kepentingannya, iaitu 1) Marginalisasi komuniti dari pembangunan ekonomi, sosial dan budaya, 2) Hak-hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU), 3) Diskriminasi berdasarkan kepercayaan 4) Isu-isu berkaitan hak-hak Wanita, Kanak-kanak dan Seksualiti 5) Hak Kehidupan, 6) Perpaduan Nasional dan 7) Hak-hak Belia. Kesemua 7 tema tersebut mengandungi perincian tentang isu-isu yang menjadi perhatian di kala ini dan disertakan syor-syor kepada pihak kerajaan Malaysia dalam usaha memperbaiki, mempertahankan serta mempromosi hak-hak berkaitan.

Laporan pemegang kepentingan MACSA ini mewakili sebahagian besar suara rakyat Malaysia yang mahukan kerajaan Malaysia memberikan perhatian khusus kepada usaha memperbaiki situasi dan keadaan hak asasi manusia di Negara kita. Laporan ini disediakan bagi membantu Jawatankuasa Kerja UPR UNHRC untuk menilai dan memperolehi gambaran tepat dan lebih berwibawa, serta menyerlahkan perspektif yang betul mengenai usaha mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR 1948) tanpa mengenepikan realiti sejarah, latar belakang sosio-budaya serta tuntutan semasa sebuah Negara berdaulat seperti Malaysia menurut acuan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Syariah serta lain-lain peruntukan undang-undang di Negara ini.

Adalah diharapkan syor-syor di dalam laporan pemegang kepentingan MACSA ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya pihak Kerajaan Malaysia di dalam menjalani proses UPR pada bulan November kelak.

MACSA ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memastikan laporan pemegang kepentingan ini dapat disempurnakan, khususnya kepada anggota-anggota gabungan MACSA, badan-badan gabungan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang turut memberikan respons terhadap usaha MACSA memperbaiki, mempertahankan serta mempromosi hak-hak asasi manusia.

 

KENYATAAN BERSAMA:

AZRIL MOHD AMIN, Ketua Eksekutif, Centre For Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) merangkap Pengerusi MACSA

PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR, Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *