Isu Orientasi Seks dan Ekspresi Identiti Jantina (SOGIE) dalam komuniti yang lebih dikenali dengan akronim LGBTQ (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer) adalah isu yang mempunyai kaitan rapat dengan etika moral dan seksual serta nilai-nilai kekeluargaan tradisional yang menjadi pegangan agama-agama utama di Malaysia. Berdasarkan hakikat ini bersama Rukun Negara Malaysia ke 5 yang menegaskan “Kesopanan dan Kesusilaan”, satu wadah perbincangan antara agama adalah amat diperlukan.
Menyedari hakikat ini, Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) and UID-Sejahtera telah mengadakan Seminar Perspektif Antara Agama Dalam Memperkasakan Nilai-Nilai Kekeluargaan: Orientasi Seks Dan Identiti Jantina Dari Sudut Pendirian Agama Islam, Kristian, Buddha Dan Hindu Dengan Input Perundangan Dan Fakta Kesihatan/Perubatan pada 20 Januari 2021 (7 Jamadil Akhir 1421H) melalui pertemuan atas talian.
Dari sesi perkongsian, berikut telah dirumuskan oleh panelis-panelis yang terdiri daripada Dr Mohd Izwan Md Yusof from Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), En Eugene Yapp dari UID Sejahtera, Dr Ooi Hean Beng dari Buddhist Missionary Society Malaysia, Dr M Bala Thamalingam mantan Timbalan Presiden Hindu Sangam, Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Peguam Tuan Abdul Rahim Sinwan dan Professor Madya Dr Siti Zubaidah Ismail Timbalan Dekan Penyelidikan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya sebagai resolusi bersama:
- Agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu bersetuju bahawa keluarga adalah satu institusi mulia yang berpegang kepada nilai-nilai agama. Sebagai sebuah institusi yang diwujudkan melalui wahyu ketuhanan (Islam, Kristian dan Hindu) di mana perkahwinan adalah bagi memenuhi objektif melahirkan zuriat, keluarga adalah unit teras di dalam masyarakat dan sesebuah negara dan ianya perlu dilindungi.
- Semua agama mempunyai kepercayaan dan prinsip bersama menyeru kepada nilai kasih sayang, belas kasihan, kebaikan dan kemaafan sesama manusia termasuk antara komuniti LGBTQ. Agama Islam seterusnya menyeru untuk kembali ke pangkal jalan.
- Agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu menyokong hakikat bahawa semua manusia dicipta mempunyai nilai yang sama di sisi Tuhan. Setiap manusia mesti dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah. Sebarang bentuk fitnah, kebencian, gangguan, keganasan dan penganiayaan terhadap mana-mana kumpulan minority termasuk komuniti LGBTQ adalah tidak dibenarkan.
- Muslim dan penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu berhak untuk menzahirkan dan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Mereka juga berhak berkongsi pandangan mengenai isu kekeluargaan dan nilai kepercayaan agama masing-masing, termasuk yang berkaitan isu LGBTQ atas dasar hak kebebasan beragama dan kebebasan bersuara.
- Dalam Islam, mana-mana gaya hidup yang bertentangan fitrah serta prinsip agama yang telah ditetapkan oleh alQuran dan Sunnah seperti tingkah laku dan pengamalan LGBTQ (musahaqah, liwat dan tasyabbuh) adalah diharamkan. Individu yang terlibat perlu diberi kesedaran dan bimbingan supaya kembali ke jalan yang benar. Sama seperti agama Kristian, pengamalan dan kelakuan berterusan LGBTQ adalah salah dan tidak diterima. Ini bertepatan dengan ajaran berkanun dan tradisional sebagaimana terkandung di dalam Kitab Suci Injil.
- Agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu berpendirian teguh bahawa sebarang tindakan atau kelakuan yang memudaratkan kesejahteraan komuniti LGBTQ tidak boleh dipromosi atau dibenarkan. Kepatuhan kepada agama sebenarnya menekankan nilai mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan kemudaratan, sikap mengambil berat antara satu sama lain dan bertoleransi untuk kesejahteraan semua termasuk komuniti LGBTQ. Dalam ajaran Islam, Muslim mempercayai konsep ganjaran pahala, dosa dan taubat. Menyeru kepada kebaikan (Amal Makruf) dan melarang kemungkaran (Nahi Mungkar) adalah tanggungjawab setiap individu Muslim terhadap yang lain dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara.
- Pendirian dan keyakinan tegas agama adalah berdasarkan kepatuhan yang datang dari kepercayaan agama masing-masing dan walaupun ada di antaranya mungkin tidak mendapat persetujuan semua pihak di dalam dan luar komuniti beragama atau masyarakat umum, ianya harus dihormati.
- Sekiranya terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, sama ada dari sudut teologi, moral atau etika, kami menyeru mana-mana pihak untuk berdialog secara harmoni.
- Walaupun menganggap tingkah laku, tindakan dan amalan LGBTQ itu salah dan tidak patut digalakkan, agama Islam dan Kristian menegaskan dari sudut kepercayaan dan kerohanian masing-masing bahawa perubahan atau pemulihan golongan LGBTQ adalah tidak mustahil sekiranya individu atau komuniti LGBTQ itu sendiri bersedia dan secara sukarela ingin menerima perubahan. Seruan ini tidak seharusnya dianggap sebagai satu bentuk kebencian atau pengabaian pilihan seseorang. Sebaliknya, ia memberi peluang untuk seseorang mencari dan mengamalkan apa jua jalan terbaik di dalam kehidupannya yang difikirkan bermanfaat.
- Langkah perubahan dan pemulihan ini termasuklah memohon bantuan melalui kaunseling profesional, mengikuti program-program dalam mendalami ilmu agama, membina hubungan kepercayaan, penegasan dan penerimaan termasuk cara penjagaan pastoral selari dengan kerangka undang-undang sedia ada. Bantuan sebegini tidak pernah dipaksa, diugut dan/atau diberi melalui pengaruh tak wajar. Semua boleh memilih atau tidak memilih untuk terlibat sama. Oleh itu, individu dan/atau komuniti LGBTQ perlu diberi hak untuk memilih dan untuk melibatkan diri secara bebas tanpa sebarang ugutan dari sesiapa.
- Data sains perubatan dan epidemiologi menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dalam kes HIV, di mana lelaki-seks-dengan-lelaki (men-sex-with-men MSM) diamalkan dikalangan komuniti gay, biseksual dan transgender. Perkara ini boleh mempengaruhi kesejahteraan keluarga sehingga membawa risiko kesihatan yang memudaratkan masyarakat umum. Perbincangan mengenai fakta kesihatan LGBTQ secara jujur dan telus harus digalakkan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat secukupnya dan ia tidak boleh dianggap sebagai transfobia atau homofobia.
- Langkah-langkah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit ini adalah amat penting dan boleh dilakukan melalui ajaran agama, pendidikan, perkongsian data saintifik, pembinaan kesedaran termasuk penguatkuasaan peruntukan undang-undang.
- Undang-undang jenayah Syariah boleh menjadi lebih efektif dengan penambahbaikan memasukkan langkahlangkah pemulihan ke dalam pendekatan hukuman sedia ada terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan liwat, musahaqah (lesbianism) dan lelaki berlagak seperti perempuan (cross dressing).
25 Januari 2021 / 12 Jamadil Akhir 1442H
*Disiarkan dalam New Strait Times dan boleh juga dimuat turun di sini: