Views

Pendidikan: Tiada yang wajar ditinggalkan – Wan Roslili Abd. Majid

Agenda “Pendidikan untuk Semua” benar-benar membungakan harapan buat semua kanak-kanak. Terlebih khusus anak-anak tidak bernegara. Dalam dokumentari bertajuk “Tagupi Membaca: Harapan Anak-Anak Tidak Bernegara”, Peldalin Md. Nasip berkongsi impian emasnya. Impian zaman kecil untuk belajar di sekolah arus perdana. Keinginannya bertambah besar apabila melihat ahli keluarga yang lain segak berpakaian seragam sekolah. Namun, penjelasan ibunya bahawa dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri membuatkan niat luhur itu dipendamkan sahaja. Harapan Peldalin yang terpaksa dilupakan itu hakikatnya mewakili kira-kira 290,437 kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini.

Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan saban tahun, lebih 70,000 kanak-kanak di dunia lahir sebagai orang tidak bernegara. Status tidak bernegara atau ketiadaan kewarganegaraan disebabkan pelbagai faktor seperti konflik undang-undang kerakyatan, peperangan, pemerdagangan orang dan status ibu bapa kanak-kanak yang juga bukan merupakan warganegara. Hal ini disebabkan kebanyakan negara di dunia mengamalkan prinsip kewarganegaraan jus sanguinis. Berasaskan prinsip ini, kewarganegaraan hanya diberikan kepada anak-anak yang ibu atau bapa mereka diiktiraf sebagai warganegara. Di Malaysia, empat faktor dinyatakan sebagai penyebab kanak-kanak tidak memiliki kewarganegaraan, iaitu kegagalan mendaftarkan perkahwinan dan kelahiran, kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen serta migran secara tidak sah, kanak-kanak terabai dan kanak-kanak pelarian tidak bernegara.

Dalam semua situasi ini, kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja dinafikan hak kewarganegaraan tetapi juga terdedah pada pencabulan hak-hak asasi yang lain seperti hak untuk hidup, akses kepada pendidikan, kebebasan untuk bergerak, hak kesihatan serta rawatan perubatan. Kesimpulannya, tanpa jaminan hak asasi ini kanak-kanak dan individu tanpa kewarganegaraan menghadapi kesulitan dan halangan sepanjang hidup. Hal ini tentunya menyebabkan mereka menanggung perang psikologi yang berat. Sebagaimana dinyatakan dalam laporan UNHCR bertajuk “I Am Here, I Belong” (November 2015), kanak-kanak dan belia tidak bernegara yang ditemu bual antara lain menggambarkan diri mereka sebagai “halimunan”, “hidup dalam bayang-bayang” dan “tidak berguna”.

Menyentuh tentang pendidikan, terdapat pelbagai instrumen antarabangsa yang menjamin salah satu hak kanak-kanak paling asasi ini. Antara yang terpenting ialah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child) 1989. CRC boleh dianggap sebagai konvensyen antarabangsa terkini paling utama yang memperjuangkan hak kanak-kanak. Selain itu, ia juga mencatat jumlah ratifikasi paling meluas oleh negara di dunia, iaitu 196 buah negara termasuk Malaysia. Artikel 28 (1) (a) CRC mempertanggungjawabkan setiap negara anggota untuk memastikan pendidikan awal diwajibkan dan diberikan secara percuma kepada semua kanak-kanak. Peruntukan ini diteguhkan oleh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4) yang menegaskan pendidikan adalah untuk semua menjelang tahun 2030. Agenda ini mencipta peluang keemasan bagi memastikan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan pelarian diambil kira dalam perancangan serta pembangunan sektor pendidikan.

Meskipun Malaysia membuat reservasi terhadap Artikel 28 (1) (a) CRC, sebagaimana dilaporkan portal UNICEF, beberapa dasar yang cuba diperkenalkan oleh mantan Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malek wajar diberikan pujian. Antara yang berkaitan dengan kanak-kanak tanpa dokumen termasuklah Pendidikan untuk Semua atau Pendidikan Inklusif. Melalui dasar atau agenda ini, sekiranya salah seorang ibu atau bapa kanak-kanak tidak berdokumen merupakan warganegara, maka ia boleh didaftarkan sebagai murid di sekolah arus perdana mulai tahun 2019. Bukti yang perlu dikemukakan ibu bapa kanak-kanak berkenaan ialah surat pengesahan ketua kampung bahawa kanak-kanak itu merupakan anak mereka. Dasar ini dilihat sebagai langkah permulaan bagi Malaysia mempertimbang untuk menarik balik reservasi Artikel 28 (1) (a) CRC. Selain itu, demi menangani isu keciciran dalam kalangan etnik minoriti dan terpinggir, Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan pendidikan alternatif. Sungguhlah diharapkan pengganti YB Dr Maszlee dapat meneruskan dasar-dasar yang baik ini demi memenuhi hak pendidikan kanak-kanak tanpa mengira status dan latar belakang.

Haluan Sabah merupakan salah sebuah NGO yang turut mengasaskan pusat pendidikan alternatif dikenali sebagai Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI). Sasaran pelajarnya ialah etnik minoriti bajau laut dan kumpulan cicir bandar atau luar bandar yang tidak berpeluang ke sekolah arus perdana disebabkan pelbagai rantaian masalah. PPMI ditubuhkan pada 16 September 2011 di beberapa buah perkampungan dalam daerah Kunak, Lahad Datu dan Semporna. Pusat pendidikan tersebut yang kini berjumlah 11 buah menjadi tempat transit terbaik bagi anak-anak tanpa mengira umur dan latar belakang. Peranan penting PPMI ini sekali gus membantu kerajaan dalam mencapai sifar keciciran. PPMI memberikan tumpuan terhadap aktiviti pendidikan asas akademik (3M), fardu ain dan kemahiran tertentu seperti pengurusan diri selain bersosial serta bernegara.

Sejak 2011 sehingga kini, PPMI berjaya membimbing lebih daripada 1,000 orang kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan komuniti tercicir yang berusia antara lima hingga 39 tahun. Dari sudut keberkesanan pembelajaran, 98 peratus pelajar dilaporkan berjaya menguasai 3M, asas fardu ain, fardu kifayah dan menghafaz sehingga 30 juzuk al-Quran. PPMI turut menjalin kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah. Pada tahun 2017, lebih 30 peratus murid di beberapa buah PPMI telah berjaya diserap masuk ke sekolah aliran perdana dan menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Keunikan dan kejayaan PPMI mengundang pelbagai institusi, pertubuhan dan kumpulan sukarelawan untuk menghulurkan bakti serta sokongan berterusan. Antaranya termasuklah MACSA (Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia) yang menghantar sekumpulan 14 orang sukarelawan dan dua orang wartawan Utusan Online ke PPMI Kg. Tagupi Laut, Lahad Datu untuk program #Tagupi Membaca 1.0 pada 10-13 Oktober 2018. Demikian seterusnya WAFIQ (Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti) yang menghantar sekumpulan 16 orang sukarelawan bagi menjayakan program susulan, #Tagupi Membaca 2.0 pada 21-25 Ogos 2019. Kedua-dua program disertai penulis bagi menyampaikan bahan-bahan bacaan selain mengadakan kelas bimbingan begitu bermakna. Ia malah menyuntik kesedaran bahawa kegigihan pengurusan pusat pendidikan alternatif seperti PPMI memerlukan sokongan hebat segenap anggota masyarakat. Matlamatnya hanyalah satu. Tiada sesiapa pun yang sewajarnya dibiarkan ketinggalan daripada memperoleh manfaat ilmu dan pendidikan.

Benarlah sebagaimana dinyatakan dalam mukadimah Deklarasi Hak Kanak-Kanak 1959, manusia seluruhnya berhutang dengan kanak-kanak perkara terbaik yang berhak dimiliki mereka. Perkara terbaik itulah yang dinamakan sebagai amanah untuk ditunaikan sebaik-baiknya. Al-Quran mengingatkan (maksudnya), “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala bentuk amanah kepada yang berhak menerimanya….” (Surah al-Nisa’ (4): 58).

Wan Roslili Abd Majid
Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *