Views

Harga Hak Seorang Pekerja – Ku Amirul Faiz Ku Seman

AKTA Kerja 1955 [Akta 265] merupakan salah satu undang-undang utama berkaitan dengan pekerjaan. Ini kerana Akta 265 secara jelas, serta terperinci, menggariskan peranan pekerja dan majikan dalam melaksanakan tugasan masing-masing. Sekitar tahun 2018 telah timbul cadangan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk meminda Akta 265. Banyak pindaan yang dicadangkan bagi Akta 265 yang mana sekiranya berjaya dilakukan akan melindungi hak pekerja dan menyediakan satu persekitaran kerja yang harmoni.

Pindaan-pindan yang dicadangkan dalam Akta 265 adalah pelbagai namun yang menarik perhatian adalah komitmen undang-undang untuk menangani isu diskriminasi dalam pekerjaan. Sehingga hari ini tidak terdapat peruntukan yang khusus berkenaan dengan diskriminasi terhadap pekerjaan.

Selain itu, cadangan terhadap Akta 265 bakal memberikan perlindungan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan daripada didiskriminasi oleh majikan. Di bawah bahagian Pra-Pekerjaan, cadangan pindaan Akta 265 menyatakan bahawa majikan tidak boleh mendiskriminasi pencari pekerjaan atas alasan jantina, agama, bangsa, ketidak upayaan, status perkahwinan ataupun kehamilan. Peruntukan ini selanjutnya memperincikan lagi bahawa majikan tidak boleh menghadkan penawaran kerja kepada hanya golongan tertentu saja termasuklah diskriminasi yang dinyatakan melalui iklan kekosongan dengan meletakkan terma dan syarat ke atas tawaran pekerjaan. Namun terdapat beberapa pengecualian pada kelayakan yang tidak dikira sebagai mendiskriminasi di bawah Akta ini.

Isu berkenaan dengan pengenalan undang-undang bagi larangan diskriminasi ini bukanlah suatu perkara yang baharu. Ia juga adalah selaras dengan saranan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa melalui Discrimination (Employment and Occupation) Convention, 1958 (No. 111). Malah undang-undang berkenaan larangan diskriminasi bagi pencari pekerjaan juga telah ada di beberapa buah negara seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan.

Lanjutan daripada peruntukan ini, Akta 265 juga memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk menyiasat sebarang aduan terhadap majikan yang mengamalkan diskriminasi atas alasan jantina, agama, kaum, kurang upaya, bahasa, status perkahwinan mahupun kehamilan. Ketua Pengarah JTKSM boleh mengeluarkan arahan yang sewajarnya supaya hal ini diselesaikan dengan segera.

Penulis berpendapat cadangan pindaan bagi memasukkan peruntukan ini adalah bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan semasa. Kini, terdapat banyak iklan pekerjaan secara terangan menetapkan syarat kebolehan untuk berbahasa asing sebagai syarat utama pekerjaan walaupun skop pekerjaan mereka langsung tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan bahasa tersebut.
Terdapat juga cadangan untuk mewujudkan satu peruntukan baru khusus berkenaan dengan larangan terhadap diskriminasi dalam pekerjaan. Cadangan peruntukan ini dengan tegas menyatakan bahawa tiada majikan yang boleh mendiskriminasikan pekerja-pekerja dalam pekerjaan atas faktor jantina, agama, bangsa, atau ketidakmampuan (melainkan jika rawatan adalah mustahil bagi pekerjaan yang memerlukan keupayaan tersebut).

Selain itu pindaan ini turut mencadangkan agar Ketua Pengarah diberi kuasa menjalankan inkuiri terhadap aduan majikan mendiskriminasikan pekerja. Selaras dengan aduan tersebut, Ketua Pengarah boleh mengeluarkan arahan yang sewajarnya bagi majikan mengambil tindakan untuk menyelesaikan. Sekiranya arahan tersebut diabaikan oleh majikan, juga akan menjadi kesalahan.
Sayangnya, pindaan berkenaan dengan diskriminasi ini telah digugurkan daripada cadangan pindaan Akta 265 sebelum ini. Namun, isu ini telah dibawa sekali lagi dalam perbahasan di Dewan Rakyat melalui Yang Berhormat Nurul Izzah pada 12 November 2020 apabila beliau bertanya apakah status terkini berkenaan dengan status pindaan Akta 265 berkaitan dengan larangan diskriminasi terhadap pekerja. Sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh ini, Yang Berhormat Timbalan Menteri menyatakan bahawa KSM sudah di peringkat akhir dalam meminda Akta 265 ini termasuklah dengan memasukkan larangan diskriminasi terhadap pekerja. Malah Jawatankuasa Teknikal bagi pindaan Akta 265 juga telah ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan untuk meneliti cadangan-cadangan ini.

Syahadan, melihat kepada dua peruntukan ini, jelas menggambarkan komitmen undang-undang untuk melindungi dan mengikhtiraf hak pekerja. Isu diskriminasi dalam pekerjaan sebenarnya merupakan satu isu yang tidak lagi sepatutnya wujud dalam keadaan negara kita mencapai kemerdakaan lebih enam dasawarsa. Lebih lagi pula Malaysia menguar-uarkan komitmen untuk menjadi sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia.

Bertepatan dengan fasa pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19, sudah tiba masanya pindaan berkenaan dengan diskriminasi ini dibentangkan dengan pantas. Wujud keperluan mendesak untuk mengadakan peruntukan ini lebih-lebih lagi memandangkan mereka yang berhadapan dengan masalah ini adalah orang muda yang baru menamatkan pengajian. Bagi ramai pencari pekerjaan yang terkesan, dengan adanya peruntukan seumpama ini, mereka tahu ada lagi dahan untuk berpaut melindungi diri daripada didiskriminasi.

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Peguam
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan)
Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *