Sepanjang YB Dr Maszlee Malik memegang jawatan Menteri Pendidikan, saya memerhatikan seakan-akan seperti akan ada nafas baru di dalam universiti. Saya mengharapkan perubahan itu berbentuk penekanan kepada aspek kemenjadian mahasiswa kita di kampus. Tetapi apa yang saya lihat adalah polisi penubuhan Student Union atau Kesatuan Pelajar menjadi antara polisi awal yang diketengahkan. Saya tidak pasti adakah ini memang datang dari YB Maszlee Malik ataupun tekanan dari pihak lain. Dalam tulisan ini, adalah pendapat saya bagaimana seharusnya Kementerian Pendidikan melihat polisi-polisi KPM yang sebelum ini berkenaan aktivisme mahasiswa di kampus.
Sejarah gerakan mahasiswa dari pelbagai latar belakang di dunia mempunyai persamaan dari beberapa aspek seperti agenda dan metodologi perjuangan. Persamaan ini telah diwarisi dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini. Namun pendekatan gerakan ini telah menyaksikan kegagalan dalam menggembleng mahasiswa kini untuk bersama dalam perjuangan sebenar mahasiswa. Kita juga menyaksikan gerakan mahasiswa kelihatan terasing daripada arus perdana di negara ini. Suara yang dilaungkan oleh gerakan mahasiswa mula tidak mendapat perhatian dan kepercayaan masyarakat. Adalah perlu untuk memberikan nafas baru kepada pendekatan dan agenda perjuangan mahasiswa supaya mengembalikan semula maruah mereka.
Saya percaya sekiranya kita menyebut aktivisme mahasiswa, pasti akan berkait rapat dengan gambar seseorang sedang memegang hailer sambil menjulang tangan yang digenggam. Manakala gerakan mahasiswa akan digambarkan perkumpulan anak muda yang beramai-ramai memegang placard dan banner sambil berarak. Terdapat juga di dalam perkumpulan ini seorang yang sedang berpidato dengan melaungkan agenda mereka. Perjuangan mahasiswa pula akan kelihatan imej yang memaparkan agenda politik dan kebobrokan ahli politik. Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, aktivisme bermaksud amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai tujuan politik dan membawa maksud yang lebih kurang sama apabila activism diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, activism is a doctrine or practice that emphasizes direct vigorous action especially in support of or opposition to one side of a controversial issue. Boleh saya katakan bahawa aktivisme ini membawa konotasi negatif dalam dunia akademik mahupun masyarakat.
Pada tahun 1974, di Malaysia peristiwa yang menyaksikan bagaimana sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya diketuai Kamaruddin Jaafar mengambil alih pentadbiran Universiti Malaya kerana menunjukkan protes atas tindakan yang dikenakan kepada mahasiswa UMSU di Tasek Utara dan menuntut supaya rakan seperjuangan mereka dibebaskan dari tahanan. Mereka membina sekatan jalan dan mengawal pintu gerbang utama universiti untuk mengawal kampus. Mereka dengan beraninya menubuhkan jawatankuasa makanan, pengangkutan, perubatan, keselamatan, komunikasi dan publisiti yang menunjukkan mereka bersedia untuk mengambil alih universiti untuk masa yang lama.
Di Korea Selatan, kisah bermula apabila Presiden Korea Selatan, Kim Jaegyu dibunuh oleh Park Chung Hee kerana dikatakan menjadi penghalang demokrasi. Pemerintahan diktator tentera mengambil alih kerajaan di bawah pimpinan Chun Doo Hwan. Disebabkan rakyat tidak menyenangi dengan rampasan kuasa ini, maka mereka melancarkan demonstrasi jalanan yang akhirnya membawa kepada berlauknya peristiwa Gwangju pada tarikh 18 Mei 1980. Peristiwa ini berada di puncaknya sewaktu demonstrasi besar-besaran yang disertai oleh 100 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Chonnam dengan berarak ke pintu pagar Universiti Kebangsaan Chonnam. Pertembungan berlaku yang menyebabkan mahasiswa ditahan dan dipukul. Demonstrasi ini telah membangkitkan rakyat di sana sehingga disertai 300,00 rakyat. Mereka telah membakar stesen TV MBC kerana mendakwa MBC memberikan laporan yang salah berkenaan demonstrasi ini. Kejadian telah mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai . Kisah ini dirakamkan dengan lakonan semula di dalam filem A Taxi Driver.
Masih terdapat kisah-kisah lain yang dirakamkan di dalam tulisan-tulisan berkenaan gerakan mahasiswa satu waktu dulu seperti Peristiwa Baling, PRU pada tahun 1969 atau Operasi Ganyang di UM. Kisah-kisah perjuangan ini menjadi satu model yang diadaptasikan banyak gerakan mahasiswa di seluruh dunia. Persamaan yang dapat disimpulkan adalah penindasan yang berlaku kepada masyarakat dan mahasiswa tersebut di negara-negara yang dinyatakan tadi menyebabkan gerakan mahasiswa memberikan reaksi yang sama kepada pemerintah atau pihak berkuasa sewaktu ini. Dalam kata lain, titik yang menggerakkan mahasiswa pada saat ini adalah pandangan untuk membela masyarakat yang tertindas. Ini telah menampilkan imej bahawa mahasiswa mempunyai kelebihan dan kekuatan yang mampu memberi kesan besar pada pemerintah negara. Kisah ini dan ditambah dengan kisah-kisah pergerakan mahasiswa yang lain sering diadaptasikan sebagai STUDENT POWER. Ini adalah imej dan model yang dirujuk bilamana mahasiswa beraktivisme di kampus dan sewaktu mereka berhadapan dengan isu-isu semasa. Hal ini menjelaskan kenapa kita melihat banyak persatuan mahasiswa di peringkat kampus mahupun di peringkat nasional sering menganjurkan demonstrasi atau piket bilamana masyarakat dalam dan luar kampus berhadapan dengan tekanan pemerintah. Mereka ingin menyatakan bahawa suara mahasiswa adalah suara keramat dan tuntutan mereka perlu didengari.
Masa berlalu dan generasi berubah. Peningkatan jumlah mahasiswa di setiap negara bertambah dari tahun ke tahun. Landskap aktiviti mahasiswa juga berubah dari aktiviti kemasyarakatan dan politik kepada aktiviti yang berorientasikan keperluan di kampus. Saya merasakan banyak faktor yang telah membawa kepada perubahan landskap aktivisme mahasiswa ini. Untuk menjelaskan samada perubahan ini satu perkara positif atau negatif, tidak diulas di dalam penulisan kali ini. Apa yang cuba disampaikan adalah gerakan mahasiswa di Malaysia masih melihat model gerakan mahasiswa 60-an hingga 70-an sebagai “Zaman Keemasan Mahasiswa” yang menyaksikan mahasiswa mempunyai kuasa dan autonomi mereka sendiri. Disebabkan penekanan politik kepada aktiviti mahasiswa, slogan Student Power telah berkembang dan menjadi slogan-slogan yang membawa naratif untuk mengiktiraf kehebatan mahasiswa. Slogan-slogan seperti Freedom of Speech, Freedom of Expression, Academic Freedom atau Autonomy Student dilaung-laungkan oleh gerakan mahasiswa di dunia. Slogan-slogan kebebasan dan kuasa ini telah menjadi agenda utama mana-mana gerakan mahasiswa. Ironinya, pihak kerajaan di Malaysia kini adalah mereka yang melaungkan kebebasan bersuara dan kebebasan ekspresi sewaktu menjadi pembangkang. Slogan-slogan kebebasan ini hanyalah alat untuk sesuatu organisasi mencapai agenda mereka bukan sebenar-benarnya menginginkan kebebasan yang dilaungkan. Akhirnya, apa yang cuba saya sampaikan adalah slogan-slogan ini hanya menjadi alat untuk menjatuhkan atau memburukan parti pemerintah.
Sejarah dan slogan-slogan ini telah membina satu paradigma bahawa gerakan mahasiswa adalah gerakan penentang pentadbiran kerajaan atau universiti dan persatuan politik. Walau tidak dinafikan politik perlu didedahkan kepada mahasiswa, tetapi imej politik telah mengaburi fungsi sebenar gerakan mahasiswa. Beberapa gerakan mahasiswa juga akan bertindak secara radikal terhadap pentadbiran universiti dan kerajaan yang mana menambahkan lagi imej penentangan atau revolusi. Sejarah mencatatkan proses penentangan dan revolusi selalunya akan berakhir dengan pertumpahan darah atau kesan yang lebih buruk. Hasil daripada imej yang diasimilasikan dengan gerakan mahasiswa ini, kita menyaksikan gerakan mahasiswa menjadi eksklusif. Hanya mahasiswa yang mempunyai kecenderungan politik sahaja akan terlibat sama. Sekiranya dahulu, gerakan mahasiswa berjaya mengumpulkan 2000 mahasiswa, kini gerakan mahasiswa mungkin mampu untuk mengumpulkan jumlah yang sama tetapi malangnya 2000 mahasiswa dahulu mempunyai peratus yang besar dibandingkan jumlah mahasiswa yang ada pada masa itu. Berbeza dengan 2000 mahasiswa kini, peratusannya sangat kecil kerana jumlah mahasiswa lebih ramai dari dahulu. Secara tuntasnya, imej politik dan penentangan pentadbiran gagal untuk menggembleng mahasiswa untuk agenda yang lebih besar.
Berlatarbelakangkan kisah-kisah ini, Kesatuan Pelajar atau Student Union yang diciduk dari zaman 1960-an di Universiti Malaya. Idea asal yang boleh digarap dari sini adalah falsafah student power yang meletakkan mahasiswa dan pihak admin pada kedudukan yang sama. Sekiranya model Student Union ini yang diguna pakai, maka kita akan melihat pertembungan dua bentuk kumpulan iaitu kumpulan student dan kumpulan pentadbiran. Berbanding Majlis Pewakilan Pelajar (MPP), Student Union mempunyai kuasa authority atau kuasa wewenang yang lebih kuat. Ini menyebabkan kedudukan Student Union lebih tinggi berbanding MPP.
Saya memerhatikan ada tiga polisi kerajaan yang didapati memberi kesan yang besar terhadap ekosistem di kampus dan aktivisme mahasiswa. Dua polisi dari Kementerian Pendidikan iaitu penubuhan secara rasmi Kesatuan Pelajar (Student Union) yang disebutkan tadi dan penubuhan parti politik di kampus dan satu polisi dari Kementerian Belia & Sukan iaitu mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun. Tiga polisi ini mempunyai golongan sasar yang sama iaitu mahasiswa.
Mengikut pengamatan saya, ketiga-tiga polisi ini akan menjadikan universiti sebagai lubuk kepada pertembungan politik nasional. Hal ini kerana, rata-rata umur di kampus adalah sekitar umur 18 tahun hingga 25 tahun. Sebelum ini, had umur mengundi adalah minimum 21 tahun, di mana separuh dalam kampus adalah mereka yang boleh mengundi. Namun kini, had umur mengundi yang akan diturunkan kepada 18 tahun bakal melibatkan hampir keseluruhan penuntut kampus boleh mengundi. Ditambah lagi dengan usaha untuk memansuhkan AUKU, mahasiswa kini boleh terlibat di dalam politik nasional.
Seterusnya, penubuhan parti politik di kampus membantu meningkatkan lagi aktiviti politik dalam universiti. Kementerian Pendidikan dimaklumkan telah menjemput mahasiswa untuk bersama-sama dalam merangka blueprint penubuhan parti politik di universti. Kita mengetahui bahawa sebelum ini parti politik tidak boleh dizahirkan dengan jelas di dalam kampus. Namun, dengan penubuhan ini, aktiviti politik di kampus akan menjadi lebih transparent. Ditambah lagi dengan penubuhan Student Union yang menyediakan platform perebutan kuasa di kampus.
Kesannya kepada aktvisme mahasiswa di kampus adalah agenda politik akan ditekan dengan lebih kuat, tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang. Tetapi instrumen ini sangat sesuai untuk parti politik menyampaikan agenda politik masing-masing di kampus. Malah abad 21 melihatkan kepada kita kesan langsung kolonialisma terhadap identiti universiti dimana menjadikan mahasiswa univeristi sebagai satu social group dengan identitinya sebagai rebelious social organization. Sekiranya berlaku isu yang tidak dipersetujui bersama antara pihak admin dan mahasiswa, Student Union akan memainkan peranan besar untuk menekan pengurusan universiti. Oleh sebab itu, pihak parti politik pastinya akan menyusun pelbagai usaha untuk memastikan agenda mereka dibawa di dalam Student Union. Hasilnya, pertembungan idealogi politik akan kerap berlaku di dalam kampus untuk menjatuhkan sesama mahasiswa ataupun admin.
Kita tidak menafikan bahawa kepimpinan yang baik boleh dibentuk dengan menjadi pemimpin pelajar. Sejarah memang membuktikan bahawa kepimpinan pelajar akan mewarnai kepimpinan negara pada masa akan datang. Namun begitu, kita perlu memahami bahawa setiap slogan dan sistem berasal dari falsafah atau kefahaman terhadap sesuatu perkara. Penubuhan universiti di negara kita tidak hanya ditubuhkan dengan kewangan tetapi setiap univerisiti mempunyai falsafah penubuhannya yang tersendiri. Falsafah itu semua tidak lari dari falsafah pendidikan kebangsaan yang menjadi teras kepada sistem pendidikan di Malaysia. Student Union dan penubuhan parti politik di kampus juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Persoalannya yang boleh kita lontarkan, adakah falsafah Student Union dan penubuhan parti politik ini selari dengan falsafah penubuhan universiti? Sekiranya lain, bagi saya kewujudan polisi ini adalah anasir buruk bagi universiti. Polisi ini perlu dihentikan sehingga ia didirikan atas falsafah universiti.
Nasihat saya kepada mahasiswa adalah kita perlu memberi ruang kepada universiti untuk membentuk diri kita dengan nilai-nilai yang ingin ditanamkan. Nilai-nilai ini juga perlu diasaskan kepada falsafah universiti yang saya sebutkan tadi. Bagaimana mungkin kita boleh dibentuk sekiranya kita meletakkan diri kita setaraf dengan semua dan menafikan sistem yang telah terbina di universiti.
Saya suka mengambil contoh ketika demonstrasi mahasiswa Turki menuntut kebebasan dan menjatuhkan insitusi khilafah ketika itu. Sultan Abdul Hamid II iaitu khalifah pada ketika itu telah mempersoalkan berkenaan Hak Asasi Manusia yang dilaungkan oleh mahasiswa tadi. Sultan Abdul Hamid II menyatakan bahawa usaha memperjuangkan HAM ini mempunyai dalang di sebaliknya yang ingin menjatuhkan insitusi Khilafah Uthmaniyah, mencipta kekacauan dan pemberontakan. Dalang ini menjadikan mahasiswa sibuk dan tidak belajar untuk ummat. Konsipirasi ini juga bertujuan untuk mahasiswa ini turun ke jalanan dan berdemonstrasi menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II. Sekiranya HAM ini jujur, mahasiswa ini sepatutnya turut membuat perkara yang sama apabila khalifah mereka ingin dibunuh. Akhir sekali, Sultan Abdul Hamid II menyatakan bahawa pemikiran mereka sebenarnya telah diracuni. Beliau menasihati agar mahasiswa ini menggunakan fasiliti kampus sebaik mungkin demi kejayaan ummat dan kemajuan bangsa.
Oleh yang demikian, cadangan saya adalah untuk Kementerian Pengajian Tinggi boleh melihat balik polisi ini supaya menepati dengan kehendak pendidikan di negara kita. Kita perlu menyuburkan cara dan gaya kita sendiri tanpa dipengaruhi penuh oleh negara lain. Universiti bukanlah tempat kita nak menyedikan medium pertembungan kuasa politik, tetapi untuk kita melahirkan manusia yang lebih baik untuk memberi kesan kepada bangsa, negara dan agama.
Azam Asri
Ahli Jawatankuasa Pusat
Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)