Views

Tolak dasar AS iktiraf LGBTQ demi kesejahteraan negara – Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar & Eugene Yapp

Joe Biden selepas beberapa jam mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) menggantikan Donald Trump, menandatangani arahan eksekutif yang boleh ditakrifkan sebagai mengiktiraf dan mempromosi hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menolak dasar luar pentadbiran baharu AS itu.

Hak asasi untuk semua rakyat tidak kira jantina sudah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit atau tempat lahir mahupun jantina.

Implikasi pengiktirafan Biden mempunyai beberapa kesan negatif dari sudut agama, perundangan, budaya dan sains biologi.

Dengan perintah eksekutif itu, wanita di AS terpaksa berkongsi tandas bersama mereka yang mengaku transwoman (mak nyah).

Kanak-kanak perempuan di sekolah pula terpaksa akur arahan eksekutif itu sedangkan sebelum pengisytiharan terbabit, ibu bapa dan penjaga menuntut tandas kanak-kanak perempuan di sekolah tidak dibuka kepada kanak-kanak trangender yang dikatakan menghidapi gender disforia.

Kes ini menimbulkan bantahan besar di sekolah di negara berkenaan kerana kanak-kanak perempuan tidak berasa selamat.

Masalah juga timbul dalam acara sukan, kerana atlet wanita mula berasakan ketidakadilan. Mereka terpaksa bersaing dengan transwoman secara biologinya ialah lelaki tetapi dibenarkan bertanding dalam acara wanita kerana menghormati pilihan identiti gender.

Secara biologinya, pengambilan hormon wanita oleh transwoman tidak berkesan terhadap otot kekar dan jisim tulang yang kekal terbentuk mengikut genetik lelaki XY.

Tidak hairanlah Mary Gregory yang juga transwoman memenangi semua sembilan pertandingan angkat berat wanita dan memecahkan empat rekod dalam penyertaan kali pertama dalam sukan berkenaan.

Transwoman, Rachel McKinnon memecahkan rekod acara pecut basikal wanita dan dikritik hebat atlet wanita. Ahli sukan remaja, Selina Soule gagal melayakkan diri dalam acara balapan wanita di New England selepas dua transwoman memintasnya.

Undang-undang antidiskriminasi yang hadir bersama pengiktirafan itu turut memangsakan banyak pihak hanya kerana menyatakan pendapat berasaskan sains dan pendirian agama.

Karier selebriti sukan ragbi Australia, Israel Foulau, ditamatkan hanya kerana menyatakan tidak bersetuju dengan LGBT. Maya Forstater pula diberhentikan kerja kerana menyatakan biologi seks tidak berubah.

Kes Forstater mendapat perhatian novelis terkenal Harry Potter, JK Rowling yang berasakan ideologi transgender memangsakan wanita apabila istilah khas biologi wanita seperti haid tidak lagi dianggap khusus untuk wanita kerana adanya transman (trangender lelaki/pengkid).

Ia antara sebab mengapa isu Orientasi Seks dan Ekspresi Identiti Jantina (SOGIE) dalam komuniti LGBTQ berkait rapat etika moral dan seksual serta nilai kekeluargaan tradisional yang menjadi pegangan agama utama di negara ini. Ajaran agama melihat keperluan memelihara semua manusia daripada ketidakadilan ini.

Berdasarkan hakikat ini bersama Rukun Negara ke-5, Kesopanan dan Kesusilaan, satu wadah perbincangan antara agama amat diperlukan.

Justeru, Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) dan UID-Sejahtera mengadakan Seminar Perspektif Antara Agama Dalam Memperkasakan Nilai-Nilai Kekeluargaan: Orientasi Seks Dan Identiti Jantina dari Sudut Pendirian Agama Islam, Kristian, Buddha Dan Hindu Dengan Input Perundangan dan Fakta Kesihatan/Perubatan pada 20 Januari lalu secara dalam talian.

Sesi perkongsian itu membabitkan panelis pelbagai latar belakang dan agama, termasuk Dr Mohd Izwan Md Yusof daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Dr Ooi Hean Beng (Buddhist Missionary Society Malaysia); Dr M Bala Thamalingam (bekas Timbalan Presiden Hindu Sangam); Abdul Rahim Sinwan (peguam) dan Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail (Timbalan Dekan Penyelidikan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).

Resolusi bersama ini memutuskan Islam, Kristian, Buddha dan Hindu bersetuju bahawa keluarga ialah institusi mulia berpegang kepada nilai agama.

Semua agama mempunyai kepercayaan dan prinsip bersama menyeru kepada nilai kasih sayang, belas kasihan, kebaikan dan kemaafan sesama manusia.

Islam seterusnya menyeru untuk kembali ke pangkal jalan. Adalah ditegaskan Muslim dan penganut Kristian, Buddha dan Hindu berhak untuk menzahirkan dan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Masyarakat pelbagai agama di negara ini juga berhak berkongsi pandangan mengenai isu kekeluargaan dan nilai kepercayaan agama masing-masing, termasuk berkaitan isu LGBTQ kerana pandangan itu dikemukakan atas dasar hak kebebasan beragama dan kebebasan bersuara.

Pada masa sama, Islam, Kristian, Buddha dan Hindu berpendirian teguh sebarang tindakan atau kelakuan memudaratkan kesejahteraan mana-mana golongan tidak boleh dipromosi atau dibenarkan.

Harus diingatkan dasar luar AS perlu menghormati pandangan Malaysia bahawa tingkah laku, tindakan dan amalan LGBTQ itu salah serta tidak patut digalakkan.

Begitu juga, Islam dan Kristian menegaskan dari sudut kepercayaan serta kerohanian masing-masing bahawa perubahan atau pemulihan golongan LGBTQ tidak mustahil sekiranya individu atau komuniti terbabit bersedia dan secara sukarela ingin menerima perubahan.

Seruan perubahan dan pemulihan ini tidak seharusnya dianggap sebagai homophobia atau transfobia.

Langkah perubahan dan pemulihan ini termasuk memohon bantuan melalui kaunseling profesional, mengikuti program mukhayyam, membina hubungan kepercayaan, penegasan dan penerimaan termasuk cara penjagaan pastoral selari kerangka undang-undang sedia ada.

Perbincangan mengenai fakta kesihatan LGBTQ secara jujur dan telus harus digalakkan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat secukupnya, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai transfobia atau homofobia.

Langkah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit ini adalah amat penting dan boleh dilakukan melalui ajaran agama, pendidikan, perkongsian data saintifik, pembinaan kesedaran termasuk penguatkuasaan peruntukan undang-undang.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)

Eugene Yapp
Bekas Setiausaha Agung, Persaudaraan Kristian Evangelikal Nasional Malaysia

*Disiarkan dalam Berita Harian dan Samudera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *