Views

Langkah Penyelesaian Isu Bekalan Benih Padi Dialu-alukan – Nurfitri Amir Muhammad

Sebelum memberi komen terhadap budget tahunan kepada industri padi dan beras untuk tahun 2021 yang kini sedang dalam proses perdebatan di parlimen, kami mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada pihak Menteri yang berusaha menyelesaikan masalah benih padi yang berlaku hampir setiap tahun sejak hampir 3 tahun lalu.

Pihak kementerian telah memutuskan untuk melantik Pertumbuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pengedar tunggal benih padi subsidi untuk mengelakkan berlakunya kegiatan sorok benih dan eksploitasi harga. Rasionalnya adalah NAFAS ketika ini adalah vendor untuk mengedarkan baja subsidi dan telah ada database yang lengkap setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Harga akan dikawal oleh NAFAS dan varieti yang diinginkan petani akan di survey dahulu oleh NAFAS sebelum memaklumkan kepada pengeluar benih (kilang benih).

Memorandum yang dihantar kepada pihak Menteri sebenarnya tidak mengandungi cadangan berkenaan NAFAS tetapi mengandungi 4 cadangan seperti berikut ;

1. Menetapkan harga siling benih.

2. Menghapuskan sistem quota penghasilan benih.

3. Mengeluarkan lesen penghasilan benih padi kepada lebih banyak syarikat termasuk kepada PPK dan koperasi-koperasi.

4. Menggalakkan petani untuk menghasilkan benih padi sendiri (dengan insentif harga padi juga diberi untuk benih yang disimpan).

Kami menyambut baik cadangan berkenaan NAFAS kerana buat masa ini ia adalah cadangan yang praktikal namun dilihat sebagai bukan penyelesaian jangka panjang.

Penghapusan sistem quota dan perlantikan jumlah pengeluar yang lebih banyak di setiap negeri masing-masing adalah penyelesaian yang dilihat bersifat jangka panjang. Kos pengangkutan boleh dikurangkan jika setiap negeri ada banyak pengeluar dan persaingan sengit pasaran dapat memastikan kualiti terkawal.

Pemberian subsidi melalui kupon atau satu sistem khas yang mana claim subsidi hanya akan diberikan kepada syarikat pengeluar setelah petani membeli benih akan memastikan syarikat sentiasa menjaga keperluan pelanggan terutama terhadap varieti yang diinginkan.

Apa pun tahniah kepada Bahagian Industri Padi dan Beras, MAFI, NAFAS dan Menteri Pertanian, YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

9 November 2020

NURFITRI AMIR B MUHAMMAD
Setiausaha PeSAWAH merangkap Setiausaha Agung IDRIS Association.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *