Media

MACSA kutuk serangan ke atas orang Islam berpuasa (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang majikan memukul pengawal keselamatan hanya kerana tidak suka mereka berpuasa.

MACSA menganggap serangan itu jenayah yang disemarakkan oleh sentimen Islamofobia. MACSA meminta semua rakyat menghormati kedudukan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Hormati juga Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia agar semua dapat beribadah mengikut agama masing-masing dengan aman dan harmoni.

“MACSA juga ingin mengingatkan mengenai Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berdasarkan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias dan Pengerusi Bersama pertubuhan itu, Prof Madya Dr Rafidah Mokhtar.

Semalam dilaporkan dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang.

MACSA menyatakan mereka memandang serius insiden Islamofobia di Malaysia yang meningkat sejak kebelakangan ini. Islamfobia berlaku dalam pelbagai bentuk yang menzahirkan kebencian dan prejudis terhadap agama Islam dan orang Islam.

MACSA menuntut agar kerajaan dengan segera menangani isu Islamofobia dengan memberi takrifan dan menjadikan Islamofobia sebagai tindakan jenayah.

Langkah itu bagi melindungi dan membantu umat Islam di Malaysia yang mengalami tekanan dan menderita kerana kebencian dan prejudis sesetengah pihak terhadap Islam.

“Sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah menerima pakai Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR), Malaysia harus akur kepada peruntukan tiada diskriminasi.

“Secara khususnya, artikel 18 UDHR menyatakan setiap orang mempunyai kebebasan berfikir, kesedaran dan beragama,” menurut kenyataan itu.

MACSA turut mengingatkan berdasarkan Artikel 22 Deklarasi Hak Asasi Asean (AHRD), Malaysia perlu komited menghapuskan sikap tanpa toleransi, diskriminasi dan hasutan berasaskan kebencian terhadap agama dan kepercayaan.

“Malaysia juga perlu akur dengan Deklarasi Hak Asasi Islam Kaherah (CDHRI) yang melarang tindakan memaksa atau mengeksploitasi sesiapa untuk menukar agama seseorang,” katanya.

MACSA turut memuji tindakan pantas polis yang menyiasat segera kes itu sehingga tertangkapnya empat individu yang disyaki terbabit dalam serangan ke atas dua pengawal keselamatan itu.

“Siasatan haruslah dijalankan secara telus dan keputusan siasatan harus dihebahkan kepada awam dari masa ke semasa,” katanya.

MACSA turut menggesa supaya satu pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) bagi memastikan pekerja tidak didiskriminasikan atas dasar agama dan bangsa.

*Disiarkan dalam Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *