Media

‘Tunggu hingga RCI selesai’ (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil merayu Kabinet supaya menangguhkan keputusan meletakkan Tabung Haji (TH) sebagai sebuah institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) sekurang-kurangnya hingga siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap agensi itu selesai.

Antara yang mengemukakan gesaan itu dalam satu kenyataan bersama ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang diwakili setiausaha agungnya, Azli Md Yusof; Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abd Halim Husin; Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya.

Turut membuat gesaan ialah Majlis Perundingan Melayu (MPM) diwakili setiausaha agungnya Datuk Dr Hassan Mad; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa; Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim dan Pengerusi Pergerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ), Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera.

Gesaan itu turut disokong lebih 20 NGO lain di seluruh negara.

Menurut kenyataan bersama itu, kementerian yang bertanggungjawab ke atas TH serta Kementerian Kewangan perlu menggantung keputusan itu dengan segera. Ini kerana menurut mereka, keputusan untuk mengawal selia Tabung Haji seperti bank Islam lain dibuat dengan tergesa-gesa tanpa konsultasi awam dan seharusnya ada mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pakar dan NGO Islam.

“Kami amat dukacita kerana keputusan itu seolah-olah tidak peka bagaimana ia boleh mengubah konsep model perniagaan yang diilhamkan oleh pengasas Tabung Haji.

“Ia sekali gus menafikan peranan Tabung Haji dalam memperkasa serta membangun ekonomi Muslim,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menjelaskan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 APKI dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada masa sama, menurut mereka, keputusan Jemaah Menteri juga dilihat bercanggah dengan penubuhan RCI yang antara lain bagi mengkaji semula pelan pemulihan Tabung Haji.

Meletakkan TH di bawah APKI adalah pramatang dan boleh memprejudis siasatan RCI sekali gus berisiko meletakkan mandat suruhanjaya itu sebagai lemah dan tidak bermakna.

“RCI seharusnya diberikan tempoh yang wajar bagi menyempurnakan siasatannya sebelum sebarang keputusan penetapan Tabung Haji diumumkan,” katanya.

Disiarkan dalam Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *