BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) menggesa pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) bagi memastikan pekerja tidak didiskriminasi atas dasar agama dan bangsa.
Pengerusi bersama MACSA, Lukman Sheriff Alias dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius insiden Islamofobia di Malaysia yang meningkat kebelakangan ini.
Ini termasuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas dua pengawal peribadi yang didakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan bukan beragama Islam kerana berpuasa, kelmarin.
“Serangan tersebut wajar dikutuk oleh setiap orang yang cintakan keamanan kerana jenayah ini disemarakkan oleh sentimen Islamofobia.
“MACSA memuji tindakan pantas pasukan polis yang menggerakkan siasatan segera sehingga tertangkapnya empat individu yang disyaki terlibat dalam serangan ke atas dua pengawal keselamatan tersebut,” katanya, hari ini.
Katanya lagi, siasatan haruslah dijalankan secara telus dan keputusan siasatan berkenaan hendaklah dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa.
“MACSA menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menghormati kedudukan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia agar semua dapat beribadah mengikut agama masing-masing dengan aman dan harmoni,” katanya.
Kenyataan itu turut mengingatkan mengenai Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berdasarkan agama.
“Sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah menerima pakai Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR), Malaysia harus akur kepada peruntukan tiada diskriminasi.
“Secara khususnya, Artikel 18 UDHR menyatakan setiap orang mempunyai kebebasan berfikir, kesedaran dan beragama,” katanya.
Di bawah Artikel 22 Deklarasi Hak Asasi Asean (AHRD), MACSA berkata, Malaysia juga perlu komited menghapuskan sikap tanpa toleransi, diskriminasi dan hasutan berasaskan kebencian terhadap agama serta kepercayaan.
“Tambahan pula, sebagai penandatangan Deklarasi Hak Asasi Islam Kaherah (CDHRI) Malaysia juga harus akur kepada Artikel 10 yang melarang tindakan memaksa atau mengeksploitasi sesiapa untuk menukar agama seseorang.
“MACSA menuntut agar kerajaan dengan segera menangani isu Islamofobia dengan memberi takrifan dan menjadikan Islamofobia satu jenayah bagi melindungi dan membantu umat Islam di Malaysia yang mengalami tekanan dan menderita kerana kebencian dan prejudis sesetengah pihak terhadap Islam,” katanya.
Disiarkan Ismaweb.