TERJEMAHAN
Dengan dogma baru yang dicanangkan oleh Regresif Haluan Kiri berkenaan dengan jantina, kita dapat lihat kini bagaimana ramalan Orwell menjadi kenyataan di dalam sebuah dunia, di mana kita dikehendaki untuk menerima bahawa 2+2=5. Dan, sama seperti apabila aturan asas aritmetik diketepikan, begitu jugalah keadaannya nanti jika kita menolak aturan asas biologi. Trend terkini yang memaksa kita untuk menerima bahawa “kedua-dua jantina dan identiti jantina adalah spektrum, yang terdiri daripada pelbagai identiti jantina, tidak cuma terhad kepada lelaki, wanita, perempuan dan laki-laki,” hanya boleh mengakibatkan kekeliruan dan kekacauan yang tidak masuk akal.
Kenyataan yang dipetik di atas dikeluarkan oleh gabungan NGO di Malaysia yang menentang niat kerajaan yang kononnya ingin melakukan “ujian jantina” ke atas seorang selebriti media sosial yang terkenal, yang mana jantinanya dipersoalkan oleh orang awam. Mereka berpendapat bahawa ujian sedemikian adalah “jelas mengganggu, menjatuhkan maruah, menyahinsanikan dan yang paling penting, tidak perlu”.
Pertama-tama, untuk memperjelaskan fakta sebenar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menasihatkan selebriti tersebut mengenai tatacara yang terlibat mengikut perspektif perubatan, undang-undang, dan agama, jika beliau mempunyai kesungguhan untuk memutuskan hal berkenaan dengan jantina dan gendernya. Tidak mungkin ini boleh dianggap sebagai mengganggu. Sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan, JAKIM hanya terlibat untuk menawarkan penyelesaian, dengan mengambil kira bahawa jantina dan gender seseorang mempunyai kesan yang jauh mendalam berhubung dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan awam dan peribadi seseorang, terutama (tetapi bukanlah semata-mata) mengenai hal-hal keagamaan seperti fiqh tentang cara mengerjakan solat dan haji. “Mengganggu” adalah perkara terakhir yang boleh digunakan untuk mentakrifkan peranan ini. Lebih-lebih lagi memandangkan, di penghujungnya, masih terpulang kepada selebriti tersebut sama ada beliau ingin menjalankan dan menyempurnakan prosedur seperti yang dinasihatkan, atau tidak.
Namun begitu, persoalan utama di sini adalah berkenaan dengan pengataan kumpulan pro-LGBT bahawa ujian itu adalah “tidak perlu”. Implikasi pengataan tersebut adalah bahawa “jantina” merupakan sesuatu yang tidak relevan, yang mana kami rasakan boleh diakui jika memang benar jantina dan gender adalah spektrum dan kedua-duanya adalah dalam bentuk bendalir; kerana jika benar dakwaan mereka, sudah tentu jantina atau gender akan menjadi hampir tidak boleh diketahui. Mereka sepatutnya mengatakan bahawa ujian itu adalah “mustahil” dan bukannya “tidak perlu”.
Tetapi adakah NGO yang menyokong kenyataan itu benar-benar menginginkan sebuah dunia di mana jantina dan gender dilihat tidak relevan? Gabungan NGO itu sendiri terdiri daripada organisasi berlandaskan hak-hak jantina khusus: seperti EMPOWER, Sisters in Islam, Women’s Aid Organisation dan All Women’s Action Society. Sudah tentu organisasi-organisasi ini juga percaya bahawa mengenal pasti jantina seseorang itu adalah sebetulnya “perlu”, kerana mereka menganjurkan hak-hak berlandaskan kriteria jantina.
Adakah Gender Sememangnya Tidak Perlu?
Jika benar, seperti yang mereka katakan bahawa “identiti jantina tidak ditentukan oleh alat kelamin”, maka bagaimanakah mungkin dapat mereka tentukan hak siapa yang mereka dokong? Adakah benar mereka menganggap tidak relevan sama ada mereka membantu hak wanita atau tidak? Adakah benar hal ini tidak langsung relevan kepada pembiaya mereka? Jika ya, mungkin mereka harus mengubah nama dan misi mereka.
All Women’s Action Society, misalnya, mengisytiharkan bahawa mereka “komited untuk memperbaiki kehidupan wanita di Malaysia”; tetapi bagaimana mereka boleh tahu siapa wanita di Malaysia jika jantina adalah sesuatu yang tidak perlu?
EMPOWER mengisytiharkan: “kami memajukan kesaksamaan politik wanita ke arah keadilan dan demokrasi berlandaskan prinsip feminis dan hak asasi manusia. Kami adalah… organisasi hak wanita”. Namun menurut pernyataan mereka di atas pula, sesiapa pun boleh menjadi seorang wanita pada masa tertentu, dan tiada cara untuk menentukan sama ada transformasi itu sudah terjadi atau bilakah transformasi itu terjadi. Jadi, bagaimana mungkin wanita tidak mempunyai kesaksamaan politik, misalnya, melainkan dengan membuat tanggapan mengenai jantina semua orang dalam kerajaan?
Tidakkah “organisasi hak wanita” akan menjadi tidak relevan dalam masa terdekat jika dibandingkan dengan kumpulan “hak-hak pan-gender” dan kumpulan “hak-hak netrois”? Ini hanyalah dua dari 71 identiti jantina yang kini boleh dipilih di Facebook. Dan jika kumpulan-kumpulan hak asasi ini akhirnya muncul untuk, contohnya, memerangi prasangka dan diskriminasi terhadap kumpulan mereka, bagaimana mereka akan tahu bahawa mereka didiskriminasikan atas alasan jantina yang mereka pilih, sedangkan tiada siapa yang tahu apakah jantina mereka? Adakah seorang pan-gender akan berasa tersinggung jika dia disalah anggap sebagai seorang neutrois?
Dan akhirnya, jika benar “identiti jantina tidak ditentukan oleh alat kelamin”, maka sudah tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa ada yang akan membelanjakan puluhan ribu dolar untuk mendapatkan pembedahan menukar alat kelamin mereka yang dianggap “tidak relevan” itu.
Kita perlu melihat bagaimana kenyataan mereka sebenarnya tidak masuk akal dan bercanggah.
Aktivis transgender mengatakan bahawa kononnya “anda hanya perlu bertanya” jika ingin tahu jantina seseorang. Namun, bagi mereka, jika benar jantina adalah dalam bentuk bendalir dan boleh berubah tanpa dikesan, kita bukan sahaja perlu bertanya “apakah jantina anda” tetapi kita juga perlu bertanya “apakah jantina anda, pada masa ini?”
Tidak bolehkah kita akui bahawa apa yang mereka bicarakan di sini bukanlah jantina, tetapi sebenarnya hanyalah mood?
Regresif Haluan Kiri Menganjurkan Pemalsuan
Gender berasal daripada jantina biologi semasa lahir; ini adalah realiti mengikut kromosom. Pandangan bahawa kononnya bahawa “jantina adalah spektrum” hanyalah satu pandangan. Tiada sesiapa yang boleh dipaksa untuk bersetuju dengan tanggapan itu, dan undang-undang tidak perlu menerima teori jantina dan agenda politik ini sebagai fakta yang telah diputuskan. Malah, sebenarnya pandangan ini hanya akan menzahirkan permasalahan besar jika diterima.
Nur Sajat Kamaruzzaman, selebriti usahawan yang menjadi tumpuan utama dalam kontroversi ini, sama ada adalah seorang wanita, atau merupakan seorang lelaki yang ingin menjadi seorang wanita. Mana-mana ahli perniagaan wanita yang berjaya, berkecenderungan akan dipuji dan diangkat sebagai model dan inspirasi untuk gadis-gadis muda, yang bercita-cita untuk mencapai kecemerlangan profesional. Beliau membuktikan bahawa wanita mampu meraih kejayaan cemerlang dalam bidang “yang didominasi oleh kaum lelaki”; hal ini adalah sesuatu yang, kami andaikan, sangat penting dalam perjuangan NGO yang menandatangani kenyataan yang kononnya “jantina adalah tidak penting”.
Bagaimana pula jadinya jika seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya akhirnya terbukti hanyalah seorang ahli perniagaan lelaki? Adakah mereka yang mempunyai matlamat untuk memperjuangkan kesaksamaan jantina di tempat kerja berpuas hati jika jumlah ahli lelaki yang ramai menghuni C-Suite mula memakai solekan dan pakaian wanita? Tanpa mengubah kakitangan, parlimen, kabinet kerajaan, dan lembaga pengarah, semalaman dunia korporat boleh dikuasai oleh wanita, hanya kerana mereka mendakwa mereka kini adalah wanita. Donald Trump boleh mengisytiharkan dirinya sebagai seorang wanita dan dengan serta-merta menjadi presiden wanita pertama Amerika.
Dan organisasi hak asasi wanita akan menjadi lewah. Sistem “patriaki” yang mereka tentangi boleh ditukar menjadi penentangan ke atas “matriarki” dalam sekelip mata. Naratif “penindasan wanita berbanding penindasan ke atas lelaki” semestinya akan hilang jika kita menerima teori bahawa jantina tidak dapat diketahui dan adalah tidak relevan.
Dua tambah dua tidak sama dengan lima, dan xx tidak sama dengan xy, dan xy bukanlah xx. Sama ada fasis Liberal yang menolak tegas bahawa realiti ini sedar atau tidak, mereka juga bergantung kepada kebenaran ini, sama seperti kita.
Jelas, mereka sendiri tidak mungkin percaya dengan apa yang mereka katakan. NGO yang mengatakan bahawa kononnya jantina Nur Sajat adalah tidak penting, berdasarkan klasifikasi jantina yang objektif dan jelas; mereka bersandar kepada realiti bahawa wujud perbezaan lelaki dan wanita, dan akhirnya, kita sendiri maklum siapa lelaki dan siapa wanita. Jantina amatlah penting bagi mereka untuk menyatakan perbezaan di antara kedua-dua kumpulan lelaki berbanding wanita; Jika tidak, NGO-NGO ini sendiri tidak lagi punyai sebab untuk wujud.
KENYATAAN BERSAMA:
Azril Mohd Amin ialah ketua eksekutif Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) dan pengerusi MACSA
Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar ialah presiden International Women & Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan pengerusi bersama MACSA
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.