KUALA LUMPUR: Syor menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sangat berasas khususnya bagi masyarakat miskin bandar.
Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita Malaysia (WADI Malaysia), Sukmamurni Abdul Manaf, berkata usul Perdana Menteri itu sangat dialu-alukan kerana ia sejajar kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada Julai lalu.
“Umum mengetahui kadar bantuan JKM sedia ada adalah sangat tidak munasabah terutama bagi penerima yang menetap di bandar.
“Keputusan ini sangat dialu-alukan kerana ia seiring dengan pengumuman PGK dari RM980 yang dinaikkan kepada RM2,208.
“Ini menunjukkan iltizam politik daripada pemimpin untuk membuat keputusan yang sukar tetapi mustahak,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Sukmamurni yang juga EXCO Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA) berkata, dengan kenaikan had PGK, kerajaan dijangka terpaksa memperuntukkan RM18 hingga 20 bilion setahun dan pertambahan bilangan penerima bantuan sehingga tiga kali ganda.
“Ini boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan berusaha mengurangkan ketirisan dan kekal dengan perbelanjaan berhemah,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan perlu meneliti beberapa perkara antaranya memastikan ia mempunyai objektif khusus, mensasarkan hanya penerima berkelayakan dan menetapkan garis masa bagi pelaksanaannya.
“Sumbangan tidak boleh disalah guna untuk tujuan lain. Oleh itu, perlu ada pangkalan data sentiasa dikemaskini untuk kelayakan penerima supaya bantuan sampai kepada yang layak dan perbelanjaan hanya mengikut keperluan sepatutnya.
“Kami turut mencadangkan sebahagian atau 30 peratus daripada bantuan RM1,000 ditukar kepada ‘foodstamp’ supaya tiada penyalahgunaan dan perbelanjaan boleh diselia oleh pihak berwajib,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membawa usul supaya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjumlah antara RM200 hingga RM300 bagi golongan sasar ketika ini dinaikkan kepada RM1,000.
Katanya, cadangan berkenaan akan dikemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini bagi membantu golongan sasar termasuk B40.
*Disiarkan dalam Berita Harian.