Views

Menjamin Hak Beragama Pekerja Muslim – Ku Amirul Faiz Ku Seman

Hak untuk beragama adalah satu hak yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menzahirkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama mereka.  Justeru, mana-mana orang yang menghalang seseorang daripada mengamalkan agama adalah satu tindakan yang tidak berpelembagaan.

 

Hak beragama juga terpakai pada pekerja.  Dalam konteks ini, hak beragama meliputi kebebasan pekerja mengamalkan ritual agama masing-masing dan mengamalkan ajaran agama masing-masing termasuklah dalam isu pakaian.  Hak ini juga secara idealnya memberikan perlindungan kepada pekerja daripada ditindas atau didiskriminasi hanya kerana amalan agamanya.  Perlindungan daripada segala bentuk diskriminasi juga telah dinyatakan di Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

 

Dengan merujuk kepada Perkara 8 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan ini, seorang pekerja muslim mempunyai hak dan kebebasan dalam mengamalkan agama Islam dalam cara hidup mereka dan dilindungi daripada sebarang bentuk diskriminasi.  Cara hidup muslim termasuklah cara berpakaian iaitu selari dengan suruhan agama serta hak menunaikan solat sebagaimana yang diwajibkan ke atas mereka.  Hak ini dianggap remeh bagi sesetengah pihak tetapi ia merupakan satu yang penting bagi seorang pekerja muslim.

 

Secara logiknya, isu pelanggaran hak beragama ke atas pekerja muslim tidak sepatutnya berlaku di negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuannya.  Kita mungkin pernah mendengar pekerja muslim ditindas, didiskriminasi dan dinafikan hak beragama di negara yang majoritinya bukan muslim.  Itu sudah menjadi satu kelaziman.  Malah pekerja dan penganut Islam di negara-negara tersebut juga berhadapan dengan prejudis terhadap masyarakat muslim ataupun Islamofobia dalam kehidupan seharian mereka di tempat kerja.

 

Walaubagaimanapun ia adalah mengejutkan bagi sebuah negara yang majoritinya muslim masih berhadapan dengan diskriminasi dan islamofobia dalam kehidupan seharian di tempat kerja.  Hak beragama pekerja-pekerja  diganggu dengan cara pengenalan undang-undang atau polisi syarikat yang bercanggah dengan agama Islam.

 

Gangguan terhadap agama juga dikatakan berlaku apabila majikan atau rakan sekerja dengan sengaja melakukan sesuatu yang melanggar terma, syarat atau keistimewaan yang dinikmati oleh pekerja kerana faktor agama.  Pekerja muslim wanita sering berhadapan dengan gangguan dan diskriminasi seperti ini di tempat kerja.  Misalnya apabila terdapat majikan atau orang atasan yang mengenakan larangan bertudung di tempat kerja atas alasan keseragaman pakaian syarikat.

Isu larangan bertudung bukanlah satu isu baru tetapi ia merupakan satu isu yang berterusan.  Sekitar 2018 misalnya kita dikejutkan dengan sekatan  bertudung yang dikenakan ke atas pekerja wanita yang bekerja di hotel.  Malah menurut Kementerian Sumber Manusia ketika itu, 13 daripada 88 hotel di semenanjung Malaysia mengenakan polisi ‘standard grooming’ yang melarang pekerja bertudung.

Polisi ini dikenakan ke atas pekerja yang bekerja di bahagian depan atau di bahagian makanan dan minuman.  Kesannya bagi pekerja wanita yang ingin terus bertudung, mereka perlu ditempatkan semula di bahagian-bahagian lain di dalam hotel tersebut.  Isu ini dikatakan selesai selepas tiga Persatuan Hotel iaitu Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Pemilik Hotel malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia menandatangani aku janji bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita memakai tudung.

Namun menurut International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), masalah larangan bertudung di tempat kerja masih lagi berlaku.  Malah terdapat  aduan larangan bertudung oleh seorang jururawat yang bekerja di hospital swasta pernah dilaporkan oleh media.  MACSA juga pernah menerima aduan daripada seoarang pekerja yang didakwa diberhentikan oleh majikan kerana bertegas ingin terus bertudung di tempat kerja.  Walaupun pemakaian tudung langsung tidak akan menjejaskan kualiti kerja pekerja muslim tersebut.

Pelanggaran terhadap hak beragama juga berlaku terhadap pekerja-pekerja lelaki. Pekerja lelaki ada yang  dilarang untuk menunaikan solat jumaat pada hari Jumaat. Sekiranya terdapat pekerja yang enggan mematuhi larangan ini, mereka berhadapan dengan risiko untuk dipotong gaji.  Majikan perlu sedar bahawa tanggungjawab menunaikan solat Jumaat pada pekerja lelaki secara asasnya adalah wajib disisi agama dan undang-undang dan bukan sengaja diada-adakan oleh pekerja tersebut.

Tanggungjawab menunaikan solat Jumaat bagi seorang lelaki muslim disisi undang-undang telah dinyatakan di seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.  Seksyen ini jelas menyatakan bahawa adalah mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah boleh didenda tidak melebihi RM1,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Justeru, polisi larangan menunaikan solat jumaat sebenarnya meletakkan pekerja lelaki muslim tersebut dalam keadaan terperangkap antara tuntutan mencari rezeki dan tuntutan sebagai muslim.  Ini merupakan satu kezaliman keatas pekerja muslim tersebut.

Tidak dinafikan bahawa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan garis panduan berkenaan dengan panduan menunaikan solat pada waktu bekerja. Namun pencabulan terhadap hak pekerja menunaikan solat Jumaat masih berlaku.  Sebagai contoh Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA) telah melaporkan bahawa mereka menerima sekurang-kurangnya 10 aduan setiap hari Jumaat berkenaan dengan larangan menunaikan solat Jumaat oleh majikan masing-masing.

Selain itu, terdapat juga aduan berkenaan larangan pekerja muslim untuk menunaikan solat fardu semasa waktu bekerja.  Larangan ini tidak masuk akal memandangkan pekerja hanya mengambil masa 15-20 minit sahaja untuk menunaikan solat tersebut.  Malah sekiranya merujuk kepada seksyen 60A (1) Akta Kerja 1955, undang-undang secara jelas memperuntukkan pekerja tidak boleh bekerja berterusan selama 5 jam tanpa diberikan rehat salama 30 minit.  Waktu rehat inilah sepatutnya diberikan kepada pekerja untuk mereka menunaikan kewajipan mereka dan bukan mengancam untuk memotong gaji mereka sekiranya mereka menunaikan solat.

Situasi-situasi di atas merupakan cabaran yang dialami oleh pekerja Muslim.  Lebih malang para pekerja tidak mempunyai tempat untuk membuat aduan mengenai pancabulan hak asasi mereka ini.  Sehingga hari ini, Malaysia masih tidak mempunyai apa-apa perundangan khusus untuk menangani isu diskriminasi terhadap pekerja di Malaysia.

Sebelum ini kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia ada mencadangkan pindaan terhadap Akta Kerja 1955.  Pindaan terhadap akta tersebut termasuklah memperkenalkan beberapa peruntukkan untuk melindungi pekerja daripada didiskriminasikan.  Walaubagaimanapun pindaan berkaitan diskriminasi tersebut tidak berlaku sehingga hari ini dan ia merupakan satu kekalahan besar kepada pekerja.

Tuntasnya, kita harus mengakui masih terdapat pekerja muslim yang dinafikan hak mereka untuk beribadah.  Pengenalan polisi yang menyekat kebebasan amalan beragama dalam kalangan pekerja Muslim bukan sahaja satu amalan yang jelik tetapi ia jelas menunjukkan perasaan prejudis terhadap agama Islam.  Kerajaan diharapkan berupaya mengambil langkah proaktif untuk membela hak beragama pekerja sekurang-kurangnya mereka tidak perlu memilih antara gaji dan akidah.

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Pengarah Kewangan
MACSA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *