KENYATAAN MEDIA:
Memelihara Hak Asasi Manusia dalam Menjaga Kemaslahatan Umat Islam
23 April 2020
MACSA mengambil peluang untuk sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri di atas perlantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kami di MACSA yakin, kepimpinan dan hikmah YB Senator akan memberikan impak besar kepada kebajikan umat Islam di Malaysia.
Wakil-wakil ahli gabungan MACSA telah berdialog bersama YB Senator pada hari ini untuk mendalami isu-isu melibatkan hak asasi manusia di dalam negara kita terutama beberapa isu hangat dan mustahak mutakhir ini.
MACSA menerima baik pandangan dan buah fikir bernas dari YB Senator yang memberi pengembangan idea baru untuk gerak kerja kami seterusnya. Ini termasuklah pandangan YB Senator berkenaan dengan takrifan dan pemakaian hak asasi manusia dalam buram kerjasama di antara Institusi HAM Kebangsaan dan juga semua organisasi masyarakat madani. YB Senator turut menyuarakan hasrat dan harapan YB Senator untuk melihat medan perbincangan HAM yang sihat dengan setiap pemegang kepentingan (stakeholders) dalam negara dapat sama-sama merasa ‘kemenangan’ HAM dalam memelihara kehidupan yang berintegriti.
MACSA telah menyuarakan kebimbangan kami berkenaan dengan tindakan sesetengah pihak yang gemar merendah-rendahkan inisiatif membangunkan Perpaduan Nasional dengan mengapi-apikan kebencian di media massa dan media sosial. MACSA turut membentangkan gerak kerja kami yang meliputi beberapa program menyantuni golongan rentan termasuklah golongan orang tidak bernegara di Sabah, golongan transgender yang sedang dalam proses berhijrah ke arah kebaikan, golongan pelarian termasuklah komuniti Rohingya, golongan warga emas serta golongan rentan ekonomi termasuklah pekerja wanita di industri perhotelan dan kumpulan muallaf yang kerap didiskriminasikan oleh majikan mereka.
MACSA percaya dengan sesi dialog ini, program yang lebih kemas dan bermanfaat dapat dirancang di masa depan. Ini termasuklah perancangan MACSA untuk menerbitkan laporan memperincikan isu pelanggaran hak kebebasan bersuara dan ekspresi melibatkan sentimen prejudis terhadap agama dan umat Islam di Malaysia. Kami di MACSA melihat isu ini memberikan kesan yang mendalam terutama apabila tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak berjaya menyemarakkan sentimen kebencian di kalangan rakyat Malaysia yang sebenarnya amat cintakan keharmonian dan perpaduan.
MACSA merakamkan ucapan penghargaan kami kepada YB Senator dan ahli-ahli gabungan yang telah bertukar idea dan pengalaman masing-masing dalam memperkukuhkan kerja-kerja hak asasi manusia di negara yang kita sayangi ini. Kami mengambil peluang juga untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Karim kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga pengalaman berpuasa dalam pada kita meneruskan peperangan melawan COVID-19 memberikan pengalaman yang lebih menginsafkan.
Ramadhan Mubarak!
KENYATAAN BERSAMA:
LUKMAN SHERIFF ALIAS ialah Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.
PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.