KUALA LUMPUR: Lebih 150 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menjalankan penyelidikan bagi mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, selain umat Islam, gabungan NGO itu menggesa semua pihak tanpa mengira latar belakang pertubuhan, masyarakat mahupun individu tampil menyatakan pendirian mereka untuk menolak tindakan suruhanjaya hak asasi terbabit.
“Bantahan terhadap pengiktirafan jantina ketiga tidak hanya dibuat oleh PAS, malah disertai dan disokong oleh pelbagai pihak.
“Justeru tu, kami mengajak setiap pihak tanpa mengira NGO, persatuan, parti politik, masyarakat sivil dan individu serta umat Islam secara keseluruhannya bersepadu bangkit menyatakan pendirian mereka dengan tegasnya menolak pencabulan akademik, pembaziran kewangan serta masa yang terbukti bercanggah dengan kehendak Perlembagaan, agama dan budaya negara kita.
“Kami membidas tuduhan anti ilmu dan anti intelektual yang dikenakan kepada sesiapa yang membantah kajian ini kerana ahli akademik dalam gabungan NGO ini secara jelas mengenal pasti ketidakbebasan penyelidik apabila sebarang hasil atau dapatan kajian mestilah ke arah menyokong objektif yang telah ditetapkan terlebih dahulu oleh SUHAKAM iaitu untuk membangunkan reformasi perundangan komprehensif bagi menetapkan garis panduan pengiktirafan gender untuk golongan transgender di Malaysia,” katanya.
Gabungan NGO itu turut meluahkan kebimbangan jika jantina ketiga diiktiraf kerana ia boleh menyumbang kepada masalah keruntuhan institusi kekeluargaan.
Justeru, tegas gabungan itu, SUHAKAM perlu menghentikan sebarang usaha ke arah pengiktirafan jantina ketiga termasuk tawaran penyelidikan yang ada tujuan jelas mengiktiraf golongan itu.
“Masalah keruntuhan institusi keluarga yang menyusul apabila jantina ketiga dibenarkan mestilah diberi perhatian serius.
“Ia seperti situasi yang berlaku di Singapura apabila pihak pendaftar perkahwinan telah membatalkan perkahwinan yang pada asalnya didirikan oleh pasangan lelaki dan wanita.
“Namun kemudian seorang pasangan mengubah jantina lalu menjadikan perkahwinan itu sebagai perkahwinan sama jantina,” katanya.
Gabungan NGO itu berkata, SUHAKAM sebagai sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia seharusnya mengambil kira pandangan semua pemegang taruh dalam mengangkat apa-apa isu hak asasi manusia.
Katanya, usaha ke arah pengiktirafan jantina ketiga akan memberi kesan bukan sahaja kepada segelintir individu tetapi kepada semua rakyat Malaysia serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, rukun negara dan undang-undang Syariah Islam.
Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) turut melancarkan petisyen secara maya bagi menggesa SUHAKAM membatalkan kajian tidak bebas itu kerana bertentangan dengan nilai kekeluargaan dan prinsip Islam.
Hampir 30,000 tandatangan diperoleh menerusi petisyen itu dalam tempoh dua hari.
*Disiarkan dalam Berita Harian.