Views

Keutuhan Institusi Parlimen – Ku Amirul Faiz Ku Seman

KECELIKAN masyarakat terhadap institusi parlimen di Malaysia dilihat semakin baik. Masyarakat sudah mula tertarik dan mengikuti perbentangan dan perbahasan rang undang-undang di parlimen baik yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Kepekaan ini mungkin kerana kebolehcapaian masyarakat kepada siaran persidangan di parlimen yang semakin mudah. Masyarakat kini tidak perlu menunggu surat khabar keesokkan hari untuk mengetahui apa yang berla ku dalam persidangan parlimen. Ia menjadi mudah dengan adanya pelbagai platfom yang wujud ketika ini.

Perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik dan positif. Ia menggambarkan sekurang-kurangnya rakyat sudah mula cakna akan badan legislatif di Malaysia. Lalu rakyat semakin sedar bahawa mereka memerlukan wakil yang berwibawa, yang boleh berhujah bagi pihak mereka pada di parlimen. Atau mereka sudah boleh bersedia untuk menukar mana-mana wakil rakyat yang membawa suara mereka sekiranya wakil rakyat tidak hadir atau bertindak luar batasan norma manusia yang sempurna akal. Persidangan di parlimen bukanlah persidangan di pasar malam ataupun kedai kopi tetapi merupakan satu persidangan yang penuh dengan ketertiban.

Sehubungan dengan itu, adalah penting masa persidangan dimanfaatkan dengan perbahasan yang menyentuh kebajikan rakyat. Inilah yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat dan bukan perbahasan ejek-mengejek, keji-mengeji dan sebagainya. Misalnya dalam perbahasan berkenaan dengan Belanjawan 2021, rakyat secara umumnya mengharapkan wakil-wakil rakyat dalam Dewan Rakyat berbahas isu pokok yan melibatkan kepentingan mereka.

Belanjawan 2021 atau Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Sebenarnya perbentangan belanjawan bukanlah satu perkara yang asing pada rakyat. Cuma Belanjawan 2021 ini menjadi tumpuan utama kerana ia menentukan hala tuju negara untuk setahun akan datang terutama apabila negara diuji dengan musibah pandemik Covid-19. Itulah sebab rakyat menjadi lebih cakna dan mengikuti rapat Belanjawan 2021 ini.

Belanjawan yang dirangka oleh kerajaan tidak semestinya memuaskan hati semua pihak. Kini bukan lagi zaman yang mana kerajaan boleh mengatakan mereka tahu semua atau zaman yang mana kerajaan boleh mendabik dada mengatakan mereka tahu apa terbaik untuk rakyat. Rakyat sudah semakin pintar dan tahu hak mereka, malah semakin arif menilai. Apa diharapkan oleh rakyat adalah persidangan Dewan Rakyat untuk membahaskan Belanjawan 2021 ini berupaya menterjemah prinsip semak dan imbang dalam cabang legislatif. Rakyat tidak boleh mengundi ataupun mengambil tempat dalam perbahasan justeru wakil-wakil rakyat mereka diharap dapat menggunakan masa persidangan untuk membahas dan berhujah demi kepentingan rakyat secara umum.

Belanjawan merupakan satu cadangan bagaimana kerajaan merancang untuk membahagikan hasil negara untuk tujuan pengurusan dan pembangunan. Perkara ini merupakan sesuatu yang kritikal dan penting terutama kini negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang telah mengakibatkan sektor-sektor ekonomi lemah, pengangguran semakin meningkat selain berhadapan dengan isu kos sara hidup yang tidak pernah menemui titik noktahnya.

Penyertaan perbahasan oleh ahli-ahli Dewan adalah satu keperluan. Dengan kebebasan yang ada oleh ahli-ahli dewan, sepatutnya mereka boleh berbahas apa sahaja cuma janganlah mengarut dalam sesi perbahasan. Celahan-celahan yang mengarut daripada ahli dewan seharusnya dihentikan sama sekali memandangkan rakyat tekun menantikan hala tuju kewangan negara diputuskan. Sikap segelintir wakil-wakil rakyat yang biadap mencelah perbahasan harus dilihat sebagai proses merendahkan hak bersuara dan tertib aturan sistem demokrasi.

Perbahasan belanjawan kali ini juga menarik kerana ia akan melibatkan mantan-mantan menteri kewangan yang juga pernah membentangkan belanjawan negara sebelum ini. Mereka kini akan berhujah untuk menyokong sepenuhnya, menyokong dengan pindaan atau menentang belanjawan yang dibentangkan. Sudah tentu dengan pengalaman yang tersemat di dada, pandangan mereka memberikan sudut pandangan yang dapat memperhalusi lagi Belanjawan 2021 bagi manfaat semua.

Tuntasnya walau apapun yang dihujahkan, sebagai rakyat kebanyakan penulis benar-benar berharap agar ahli-ahli dewan berupaya menjalankan peranan dan menggunakan hak dan keistimewaan yang diberikan. Hak ini hanya diberikan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menentukan nasib dan kebajikan rakyat Malaysia untuk sesuatu rang undang-undang diluluskan. Barangkali sentimen politik boleh diketepikan seketika dalam perbahasan belanjawan sebaliknya penekanan kepada nasib rakyat diutamakan. Barulah nanti dalam pilihan raya kelak, ahli-ahli politik ini boleh melaungkan semula slogan rakyat untuk menarik hati rakyat.

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *