KUALA LUMPUR, 16 Jun 2021 – “Usaha pihak SUHAKAM untuk menjalankan kajian untuk mengiktiraf golongan transgender ini adalah bertentangan dengan syariat Islam dan norma budaya di tanah air ini. Dalam Islam, Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita begitu juga sebaliknya,” kata Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam Facebooknya.
Tegas beliau, tindakan SUHAKAM yang menawarkan ruang penyelidikan dalam usaha mengiktiraf Gender Ketiga di Malaysia ini sangat menghairankan.
Bukan itu sahaja, kajian ini juga dilihat sebagai seakan satu usaha untuk pengiktirafan gender ketiga iaitu golongan transgender yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.
“Mungkin akan ada yang berkata: “Ini hanyalah sebuah kajian.” Namun pernyataan Dapatan Kajian (Research Outcome and Deliverables) dalam proposal penyelidikan tersebut jelas menyebutkan mengenai usaha untuk memberikan cadangan (recommendations) kepada pihak kerajaan untuk pengiktirafan Gender Ketiga iaitu kumpulan Transgender.”
Tambah beliau, “Dalam Islam, Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita begitu juga sebaliknya. Sabda Rasulullah SAW yang bererti: “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki (HR al-Bukhari)”.”
“Perlakuan seorang lelaki untuk menyerupai wanita sahaja telah dilaknat Allah, apatah lagi andai sekiranya seseorang itu tidak berjantina lelaki mahupun wanita? Apakah jantina ketiga ini?”
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah di USIM ini lagi, dari satu aspek, penyelidikan pihak SUHAKAM untuk mengiktiraf gender ketiga ini sangat mirip dengan kerangka pemikiran Barat yang melaungkan kerosakan ini melalui slogan hak asasi manusia.
“Bagaimana kerangka dan acuan pemikiran Barat ini ingin diterapkan di Malaysia yang menjunjung Islam sebagai Agama Persekutuan?”
Justeru, Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi menyeru pihak berautoriti agar menilai semula penyelidikan yang ingin dijalankan oleh pihak SUHAKAM ini.
“Kerosakan sebegini haruslah ditegur. Andai berpakaian dengan pakaian dengan jantina yang bertentangan dengan jantina asal pun telah dilarang, apatah lagi mengiktiraf dan mewujudkan jantina baharu yang jelas bertentangan dengan syarak.”
“Adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mencegah tindakan mengiktiraf kemungkaran. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Abu Daud: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada di kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya”,” tegas beliau mengakhiri kenyataan.
Pencarian penyelidik untuk kajian jantina ketiga SUHAKAMM ini juga mendapat bantahan daripada MACSA, UMMAH, dan Mardhiyyah Johari, Ketua Kluster Undang-Undang, Pertubuhan Advokasi dan Hak Asasi Wanita Antarabangsa Malaysia (i-AWARE).
Malah, MACSA juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyokong petisyen menggesa SUHAKAM membatalkan kajian tidak bebas ke arah menyokong Pengiktirafan Gender Ketiga.
*Disiarkan dalam Samudera