Views

Lestarikan kedudukan fatwa dalam sistem dwiperundangan – Danial Ariff Shaari

MAHKAMAH Persekutuan pada 13 Februari lalu membuat keputusan berhubung penamaan seorang kanak-kanak tidak sah taraf yang didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai ‘bin Abdullah’.

Penghakiman majoriti 4-3 dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf, membenarkan rayuan dikemukakan JPN, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan.

Mereka memutuskan tindakan Ketua Pengarah JPN menolak permohonan bapa untuk kanak-kanak itu dibin dengan namanya adalah betul di sisi undang-undang.

Antara lain, ia berasaskan undang-undang bertulis iaitu Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mengenai kesahtarafan anak.

Namun, oleh kerana tiada fatwa diwartakan di Johor berkenaan penggunaan ‘bin Abdullah’ ketika isu itu berbangkit, Ketua Pengarah JPN diarah mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada nama kanak-kanak itu.

Datuk Ikbal Salam, peguam mewakili Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menjelaskan fatwa berkaitan anak tidak sah taraf dibin atau binti Abdullah hanya diwartakan pada 21 Mei 2018. Pun begitu, prinsip diguna pakai kes adalah apabila sesuatu fatwa diwartakan, maka ia menjadi undang-undang dan mengikat.

Dengan itu, jika JPN menolak permohonan di bawah Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) untuk menamakan anak tidak sah taraf dengan nama bapanya dengan merujuk fatwa, maka ia tidak boleh dianggap melangkaui bidang kuasa JPN.

Tambahan pula, seksyen berkenaan tidak terpakai ke atas orang Melayu atau orang Islam yang tidak memiliki nama keluarga.

Penghakiman itu juga memetik kes Lina Joy dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2007] 4 MLJ 585 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan munasabah untuk JPN memerlukan perintah daripada mahkamah syariah berhubung status keIslaman seseorang.

Kes Lina Joy membabitkan pemohon yang ingin mengeluarkan butiran Islam pada kad pengenalan yang membawa maksud pemohon keluar daripada Islam.

Secara asasnya, kedua-dua kes ‘bin Abdullah’ dan Lina Joy mendukung prinsip undang-undang secara konsisten iaitu JPN boleh secara beriringan merujuk enakmen negeri, fatwa atau perintah mahkamah syariah walaupun ia sebuah badan sivil Persekutuan.

Selain perihal pendaftaran membabitkan orang Islam, Persekutuan juga berperanan mengekang penyebaran sebarang doktrin yang bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam dalam bentuk penerbitan.

Di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), menteri memiliki budi bicara mutlak untuk mengenakan larangan ke atas apa-apa penerbitan jika berpuas hati ia antara lain, mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, menggemparkan fikiran orang ramai atau berlawanan mana-mana undang-undang.

Perkara 10(2)(a) membenarkan Parlimen mengenakan sekatan terhadap hak itu jika perlu atau suai manfaat demi ketenteraman awam atau prinsip moral.

Namun, Mahkamah Rayuan pada 13 Februari lalu membatalkan larangan dikenakan ke atas tiga buku bertajuk ‘Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan’ yang diterjemahkan daripada versi bahasa Inggeris nukilan ahli akademik Turki, Mustafa Akyol dan dua jilid Wacana Pemikiran Reformis terbitan Islamic Renaissance Front (IRF).

Apabila perintah larangan diwartakan pada 2017, antara lain disebut ia berikutan isi kandungan yang mempromosikan idea liberalisme dan jelas menyeleweng ajaran Islam sebenar.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa pada 2014 iaitu fahaman liberalisme dan pluralisme agama menyeleweng daripada ajaran Islam, diikuti Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2017.

Dengan itu, keputusan Mahkamah Rayuan menimbulkan persoalan tentang kedudukan fatwa dalam perkiraan Persekutuan, khususnya berhubung penerbitan bercanggah fatwa diwartakan yang membentuk sebahagian undang-undang biarpun di peringkat negeri.

Seperti peraturan JPN di bawah Akta 299 mahupun perintah larangan KDN menurut Akta 301, fatwa diperbuat jawatankuasa fatwa negeri tidak wajar dikesampingkan.

Perlembagaan Persekutuan masih menjamin kebebasan beragama bagi warganegara bukan Islam di bawah Perkara 3(1) dan 11(1).

Berbalik pendirian diambil Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan ‘bin Abdullah’ ia menjadi penanda aras kepada peranan agama serta hukum syarak dalam segenap perkara yang lazimnya diurus tadbir undang-undang sivil semata-mata.

Danial Ariff Shaari
AJK Pusat MACSA

*Turut disiarkan di Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *