MACSA melahirkan rasa gusar dengan Laporan Separuh Penggal SUHAKAM bagi Proses Semakan Berkala Sejagat Ke-3 Malaysia.
Proses Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) adalah proses yang berlangsung setiap 5 tahun sekali bagi menilai tahap pengamalan hak asasi anggota Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, selaras keputusan Perhimpunan Agung PBB pada 2006. Malaysia telah melalui proses in sebanyak tiga kali.
Institusi hak asasi manusia kebangsaan (National Human Rights Institution atau NHRI) seperti SUHAKAM dikehendaki menghantar laporan ke Majlis Hak Asasi bagi tujuan dipertimbangkan semasa proses ini berjalan. Laporan Separuh Penggal NHI akan dihantar terlebih dahulu sementara laporan penuh UPR Ke-4 yang dijangka berlangsung dalam tahun 2024, akan dihantar sekitar Jun 2023.
MACSA justeru itu merasa kesal dengan tindakan SUHAKAM yang dilihat terburu-buru namun konsisten dalam mempromosikan pengiktirafan gender ketiga. Penggunaan terma “non-binari” (seseorang yang mengaku tidak berjantina lelaki atau perempuan) dalam laporan mereka itu, bersama-sama dengan identiti gender dan orientasi seks yang lain (LGBTQ) jelas menunjukkan hasrat SUHAKAM untuk terus mempromosi gender ketiga dan LGBTQ.
Pada bulan Jun tahun ini, SUHAKAM secara terbuka menawarkan geran penyelidikan bertajuk “Kebolehlaksanaan Pengiktirafan Gender Ketiga dari sudut undang-undang di Malaysia”. Daripada tajuk kajian, adalah jelas kajian ini bertujuan untuk meneroka undang-undang agar yang sama dipinda bagi memperkenalkan ‘gender ketiga’ masuk ke dalam sistem perundangan.
Dalam terma rujukan kajian, SUHAKAM menyatakan bahawa tanpa mengira dapatan kajian, para penyelidik harus menyokong objektif yang telah ditentukan seperti digariskan oleh SUHAKAM, iaitu “untuk mengasaskan pembaharuan undang-undang yang komprehensif dalam mengadakan garis panduan pengiktirafan bagi transgender di Malaysia”. Penyelidikan dengan kesimpulan yang telah ditentukan sebelum kajian bermula bukanlah penyelidikan. Itu adalah propaganda. Ia merupakan satu usaha memaksakan nilai asing yang tidak dapat diterima oleh masyarakat .
Walau bagaimanapun, cadangan kajian itu dikritik hebat oleh ahli akademik, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam. Lebih daripada 150 pertubuhan masyarakat sivil berganding bahu untuk menentangnya, dan petisyen menentang cadangan kajian itu yang dilancarkan oleh MACSA telah berjaya mengumpulkan 30,000 tanda tangan dalam masa dua hari. Institusi keagamaan termasuk JAKIM dan Pejabat Mufti Selangor, Perak, Perlis dan Wilayah Persekutuan semuanya secara rasmi mengeluarkan bantahan cadangan tersebut kerana ia jelas bertentangan dengan nilai kekeluargaan dan undang-undang Syariah. Pengiktirafan ‘jantina ketiga’ dengan ketara sekali akan membawa implikasi negatif yang signifikan terhadap institusi kekeluargaan.
Usul kajian SUHAKAM bagaimanapun mendapat pujian daripada Pengarah Bersekutu Program Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender dari pertubuhan Human Rights Watch (HRW), yang mengatakan kononnya standard hak asasi manusia antarabangsa telah memberikan panduan jelas mengatasi masalah ini melalui pengiktirafan gender yang sah, walhal pengataan ini adalah suatu tuntutan yang masih diperdebatkan kerana masih banyak negara tidak mengiktiraf ‘jantina ketiga’ atas beberapa sebab. Sedangkan bagi negara-negara yang telahpun mengiktiraf gender seperti itu, masalah ‘diskriminasi’ masih belum dapat ditangani dengan berkesan hanya dengan membenarkan klasifikasi bukan biologi ini.
SUHAKAM dengan ini telah memperlihatkan sikap tidak bebas mereka yang tunduk kepada tekanan pihak luar dalam mempromosikan agenda tidak bermoral ini. Ini menimbulkan persoalan, kepada siapakah SUHAKAM dipertanggungjawabkan? Kepada pembayar cukai dan rakyat negara ini? Atau ada elemen gelap yang menyusup badan kerajaan yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas mereka atas perkara yang lebih relevan untuk rakyat negara ini?
Barangkali, kerana tekanan dari luar inilah yang telah menyebabkan, SUHAKAM dalam jangka waktu hanya empat bulan, telah menolak untuk mendengarkan pandangan ramai dan pihak berkuasa agama, selanjutnya meneruskan niat denganmengiktiraf ‘jantina ketiga’ melalui Laporan Separuh Penggal mereka.
Saranan SUHAKAM dalam Laporan tersebut telah menyatakan bahawa “… syor kepada kerajaan untuk memiliki pendekatan inklusif terhadap hak untuk kesihatan yang merangkumi penjagaan kesihatan yang dapat diakses dan berpatutan kepada semua orang di Malaysia termasuk masyarakat yang rentan dan pelbagai seperti lelaki, wanita, non-binari, LGBTQ+ dan pekerja migran. ” Meletakkan non-binari dalam kategori jantina tambahan kepada lelaki dan perempuan jelas sesuatu yang tidak dapat diterima oleh moral masyarakat kita. Huraian seperti itu sama sekali tidak diperlukan kerana hak dan perlindungan asas sudah diberikan kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira jantina. Pendekatan licik (melalui pengenalan terma tambahan) dalam Laporan ini membuka pintu bagi ideologi songsang berkembang lebih jauh dalam masyarakat seterusnya menimbulkan ketidakharmonian dalam negara kita.
Hakikatnya adalah masih belum ada kes yang dilaporkan di mana seseorang di Malaysia secara terbuka mengakui bahawa dia merupakan seorang non-binari. Namun begitu, SUHAKAM (badan yang dibiayai oleh kerajaan) telahpun memasukkan idea songsang ini dalam Laporan Separuh Penggal mereka secara rasmi. Dalam bidang sains biologi dan fisiologi perubatan, tidak ada tempat untuk idea ‘bukan binari’ ini kerana fakta adalah, individu-individu ini akan tetap tertakluk kepada jantina lelaki atau wanita. Hatta dalam masalah-masalah kesihatan kecelaruan jantina akibat masalah kromosom, gangguan hormon yang dikategorikan sebagai interseks atau gangguan perkembangan jantina, pengurusan kes-kes ini akan tetap menjurus kepada pengkhususan jantina sama ada lelaki atau wanita.
MACSA terpanggil untuk mengingatkan SUHAKAM akan Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang mendefinisikan ‘hak asasi manusia’ sebagai merujuk kepada kebebasan asasi seperti yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Sebagai tambahan kepada perkara ini, Seksyen 4 (4) menyatakan bahawa pematuhan kepada Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) adalah terhad selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermaksud bahawa sebarang hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tetapi berada dalam ruang lingkup UDHR hanya boleh dirujuk tertakluk kepada syarat bahawa ianya tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
MACSA menekankan hakikat bahawa banyak undang-undang di Malaysia hanya memperuntukkan pemakaian terma jantina lelaki dan wanita, walaupun telah ada percubaan untuk menggantikannya dengan kata gender bagi memungkinkan pengiktirafan ‘gender ketiga’. Impak pengiktirafan gender ketiga ini tidak hanya akan mempengaruhi kesihatan seseorang (kerana melibatkan biologi) tetapi juga mengganggu hak dari segi undang-undang. Percubaan SUHAKAM untuk mengiktiraf non-binari juga adalah suatu bentuk paradoks kerana Seksyen 5 (3) Akta SUHAKAM sendiri menyatakan bahawa Pesuruhjaya mestilah dipilih daripada kalangan jantina lelaki dan wanita pelbagai bidang kepakaran. Tindakan SUHAKAM bahkan tidak selaras dengan Akta yang memungkinkan kewujudan institusi ini sendiri.
Amatlah dikesali bahawa para Pesuruhjaya di SUHAKAM telah gagal memastikan setiap nilai yang bertentangan dengan agama Persekutuan dan budaya Malaysia tidak dimasukkan ke dalam laporan mereka. SUHAKAM memilih untuk tunduk kepada ideologi yang diimport dari Barat, berbanding mendengarkan suara rakyat Malaysia berbilang agama yang berpegang kepada teras agama maasing-masing. Pesuruhjaya SUHAKAM wajar menyatakan pandangan sebenar mereka dan jika mereka tidak mampu berbuat demikian, mereka wajar melakukan perkara terhormat dengan melepaskan jawatan kerana telah mereka khianati kepercayaan rakyat.
Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)
Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)