MACSA bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka membebaskan diri dari penjajahan di Wilayah Palestin dan mengecam kerajaan Israel yang telah mencabul pelbagai undang-undang antarabangsa. Ini merangkumi pengusiran penduduk Palestin dari kediaman mereka, mendirikan penempatan Israel baru di tanah Palestin, pembunuhan orang awam Palestin tanpa bicara, penahanan sewenang2nya kanak-kanak dan wanita Palestin dan pelbagai lagi pencabulan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sudah banyak didokumentasikan.
MACSA dengan itu menghormati segala usaha rakyat Malaysia dan bangsa lain di seluruh dunia yang telah berdiri dibelakang rakyat Palestin dengan menyuarakan pendirian dan bantahan mereka terhadap pencabulan pemerintah Israel terhadap hak-hak rakyat Palestin. Penderitaan rakyat Palestin ini telah dapat disebarkan secara meluas khususnya melalui media sosial.
Untuk ini MACSA memandang serius terhadap pelbagai aduan bahawa syarikat gergasi rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok telah mengenakan sekatan secara tidak adil, diskriminatori dan sewenang-wenangnya, terhadap berita-berita yang menyentuh keadaan rakyat Palestin. Pelbagai dakwaan telah dibuat oleh ramai pengguna bahawa syarikat-syarikat ini telah menyekat kebebasan bersuara mereka dengan menghapuskan posting atau komen yang sah dan/ atau menutup akaun dengan sewenang-wenangnya tanpa memberi alasan dan melalui proses yang sewajarnya.
Maka, sudah tiba masanya syarikat rangkaian sosial ini dipertanggungjawabkan ke atas pencabulan kebebasan bersuara. Rakyat Palestin sudah terlalu lama ditindas dengan kejam di bawah rejim Israel dan apa-apa lagi sekatan penyebebaran berita dan hak bersuara mereka, adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima.
Oleh itu, MACSA menyeru agar Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menggubal “Undang-undang Anti-Tapisan (anti-censorship) Perjuangan Palestin” agar syarikat rangkaian sosial gergasi ini dipertanggungjawabkan dalam sebarang bentuk sekatan kebebasan bersuara.
MACSA mengakui syarikat-syarikat ini mempunyai hak untuk menyekat ucapan kebencian tetapi apa yang dimaksudkan dengan ucapan kebencian mestilah diperjelaskan. Sebarang sekatan bersuara mestilah dilaksanakan dengan adil dan telus dan bukan sewenang-wenang seperti yang dilakukan sekarang. Mana-mana syarikat rangkaian sosial gergasi yang melanggar undang-undang ini hendaklah dikenakan denda yang setimpal.
KENYATAAN BERSAMA:
LUKMAN SHERIFF ALIAS
Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.
PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.
SUWARDI YAACOB
Pengerusi Yayasan MyAQSA
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.
Turut disiarkan di Samudera.