PADA 18 hingga 22 Disember lalu berlangsung sesi ke-20 Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-IPHRC) di Jeddah, Arab Saudi. Persidangan itu adalah sejurus setelah tamatnya Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang berlangsung dari 20 November sehingga 18 Disember lalu.
Justeru, menarik apabila di dalam dokumen resolusi OIC-IPHRC, negara-negara Islam telah mengucapkan tahniah kepada kerajaan Qatar atas kejayaannya menepis propaganda mengenai Islam dan secara tegas menolak agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali mengikuti riuh-rendah komen berat sebelah oleh dunia Barat ke atas Qatar, terutama sekali apabila terdapat usaha menentang larangan minuman keras di dalam stadium dan larangan mempromosi budaya LGBTQ.
Berlatarbelakangkan suasana ini, MACSA menyokong penuh Resolusi terkini dari Suruhanjaya OIC-IPHRC 2022 bertajuk DOKUMEN HASIL PERBAHASAN BERTEMA “HAK KEHIDUPAN BERKELUARGA: PERSPEKTIF ISLAM DAN HAK ASASI MANUSIA UNTUK MENDEPANI CABARAN KEPADA INSTITUSI PERKAHWINAN DAN KELUARGA”
Di bawah Resolusi ini antara perkara-perkara yang telah dinyatakan secara tegas:
Menolak sekeras-kerasnya perbincangan berkaitan rangka Orientasi Seksual dan Identiti Gender (SOGI) tentang hak individu LGBTQ untuk mengamalkan cara hidup mereka sebagai isu hak asasi manusia. Dalam perkara ini, ditegaskan bahawa konsep baharu dan kontroversi SOGI dan kesatuan LGBTQ adalah tidak universal dan tidak diiktiraf oleh piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Mengakui cabaran-cabaran yang timbul terhadap nilai kekeluargaan minoriti Islam yang meliputi Pendidikan Seksual Komprehensif (CSE), SOGI dan peningkatan trend mengamalkan hubungan luar nikah. Bagi menangani cabaran ini, penduduk minoriti Islam (di sesetengah negara) mesti disokong untuk memberikan pendidikan agama di rumah dan sekolah.
Menyeru entiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Hak Asasi Manusia (OHCHR), badan-badan perundingan (treaty bodies), Prosedur Khas, agensi-agensi PBB dan badan-badan serantau, agar tidak melangkaui mandat mereka bertujuan memasukkan kandungan promosi mengenai nilai-nilai kontroversi LGBTQ dan CSE serta membuat pemerhatian undang-undang, termasuk komen umum di luar skop Konvensyen/perjanjian asal, dengan tidak menghiraukan kedudukan sebahagian besar negara-negara PBB.
Mengutuk beberapa penerbitan daripada pelbagai agensi PBB seperti UNICEF, UNESCO, WHO, UNFPA, UNAIDS, UNDP, badan perjanjian PBB, organisasi serantau dan semua entiti lain, yang mempromosikan norma SOGI yang bertentangan dengan hak asasi manusia sejagat, menghina nilai-nilai agama dan juga berpotensi memudaratkan kesihatan fizikal dan psikologi kanak-kanak.
Sehubungan itu, digesa badan-badan PBB ini supaya mengelak daripada menggunakan bahan advokasi yang tidak diluluskan atau diterima pakai secara sebulat suara, sekali gus menjejaskan nilai, norma dan instrumen hak asasi manusia yang diterima secara universal.
MACSA juga mengajak rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa mengambil perhatian bahawa resolusi OIC-IPHRC turut disokong oleh negara bukan OIC dan pertubuhan bukan Islam seperti Family Watch International, satu pertubuhan pro-keluarga yang turut menolak agenda LGBTQ bagi penganut Kristian.
Resolusi ini seterusnya menggariskan bahawa; mengakui bahawa kedudukan OIC disokong oleh beberapa negara bukan OIC dari Asia, Afrika dan Eropah meminta:
a) Kepentingan menghormati nilai dan sensitiviti kebangsaan, serantau dan agama.
b) Mengelakkan tekanan luar atau langkah paksaan untuk mempengaruhi kedudukan negara membangun.
c) Penolakan resolusi PBB yang kontroversi mengenai SOGI.
Resolusi ini turut menyeru semua negara OIC untuk mematuhi, melindungi, dan mengukuhkan pendirian bersama OIC mengenai institusi perkahwinan dan keluarga dengan menyokong takrifan keluarga yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, norma dan disepakati bersama PBB, yang menghormati hak dan tanggungjawab pelbagai jenis ahli keluarga seperti ibu bapa tunggal, penjaga, orang tua atau ahli keluarga kembangan.
Dimasukkan juga di dalam Resolusi ini nilai-nilai kekeluargaan yang kuat dijulang sebagai teladan oleh pasukan bola sepak Maghribi semasa Piala Dunia Qatar 2022 yang baru selesai baru-baru ini patut dicontohi dan ditonjolkan sebagai model.
Resolusi turut menyeru Majlis Menteri Luar untuk menubuhkan “Kumpulan Teras Perlindungan Keluarga dan Kanak-kanak OIC” dengan mandat untuk mewujudkan strategi dan kedudukan dasar OIC untuk melindungi keluarga dan kanak-kanak di peringkat serantau dan antarabangsa. Khususnya untuk membangunkan panduan yang jelas tentang isu dasar yang disokong oleh OIC; antara lain, memelihara kedaulatan negara, kesihatan dan kesucian kanak-kanak dan melindungi mereka daripada bahan lucah dan CSE, memelihara nilai-nilai agama dan budaya, perlindungan nyawa, hak ibu bapa, penghormatan terhadap nilai-nilai agama dan budaya, penghindaran/abstinen risiko seksual kanak-kanak, dan pemerkasaan belia dalam advokasi pro-keluarga.
Resolusi ini turut membincangkan peranan institusi hak asasi kebangsaan (atau NHRI – national human rights institution). Dalam konteks kita, Suruhanjaya Hak Asasi Kebangsaan Malaysia (SUHAKAM).
Resolusi menyatakan keperluan meluaskan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang perlindungan hak keluarga, termasuk minoriti Islam terhadap cabaran yang dibangkitkan oleh agenda SOGI, termasuk melalui penyediaan latihan kepada NHRI dan NGO pro-keluarga, pemerkasaan belia pro-keluarga, surat-surat dan kenyataan bersama IPHRC kepada Negara Anggota OIC yang mendedahkan agenda tersembunyi hak seksual, dan surat amaran kepada agensi PBB dan mekanisme hak asasi manusia yang melanggar mandat mereka sendiri untuk menyebarkan naratif SOGI.
Juga, memutuskan untuk mengadakan seminar/bengkel di samping perhimpunan/pertemuan PBB di New York dan Geneva unutk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi keluarga.
Resolusi turut memberi komitmen penuh untuk mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga dengan matlamat keseluruhan untuk memupuk hak asasi manusia yang menghormati dan memelihara masyarakat. Sehubungan itu, menyatakan kesedian untuk mengembangkan lagi hubungan kerja dengan semua pihak berkepentingan di seluruh dunia bertujuan untuk memperluaskan perlindungan nilai-nilai kekeluargaan yang selaras dengan prinsip Islam dan mengikut undang-undang hak asasi antarabangsa.
Adalah nyata bahawa impak Piala Dunia Qatar 2022 adalah sangat besar bagi satu pernyataan tegas blok negara-negara Islam menetapkan pendirian menolak nilai-nilai yang bercanggah dengan agama kita yang di buat atas nama “hak asasi” yang sifatnya tidak sejagat.
KENYATAAN BERSAMA:
LUKMAN SHERIFF ALIAS
Pengerusi, MACSA.
PROF DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Presiden, WAFIQ merangkap Pengerusi Bersama, MACSA.
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) ialah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.
Turut disiarkan dalam Utusan Malaysia.