Views

Pertimbang kombinasi kaedah di AS, UK lantik ahli JAC – Lukman Sheriff Alias

Cadangan Majlis Raja-Raja supaya kuasa lantikan diberi kepada institusi tertentu seperti Majlis Peguam, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen kini mencetuskan polemik baharu.

Tidak dinafikan, barangkali masih ramai tidak sedar betapa penting pelantikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan sahaja hendak memastikan sistem kehakiman bebas dan adil, malah ia berperanan menjamin keamanan serta keharmonian masyarakat dan negara.

Bagi memastikan kelayakan ahli JAC dinilai dengan penuh wibawa, apa yang perlu difahami adalah hasrat diharapkan daripada badan kehakiman dan memahami bagaimana negara lain menggarap isu pelantikan ini.

Apabila kita mahu sistem dan badan kehakiman yang bebas, kita mesti jelas apa yang kita mahu adalah setiap hakim dan keseluruhan badan kehakiman itu tidak berat sebelah dan bebas daripada tekanan atau pengaruh dalam memberi keputusan.

Ini termasuk bebas daripada pelbagai tekanan dan pengaruh Eksekutif, Legislatif, media dan pelbagai lagi, termasuk hakim senior atau kanan.

Maka, persoalan yang timbul bagaimana hendak memastikan pelantikan hakim itu bebas daripada pengaruh luar seperti Eksekutif dan dilihat bebas dengan sebenarnya. Yang menimbulkan persoalan, jika Eksekutif atau Legislatif tidak boleh melantik, siapa boleh melantik hakim.

Jika Raja melantik, siapa akan menasihati ketua negara kalau bukan Eksekutif. Ini satu isu penting untuk difahami dan diamati. Justeru, kita boleh lihat bagaimana negara lain memastikan kebebasan badan kehakiman mereka dijamin untuk perbandingan.

Di Amerika Syarikat (AS), hakim mahkamah agung mereka sebenarnya dicadangkan Presiden yang juga ketua eksekutif. Selepas dinamakan, hakim terbabit akan melalui satu proses temu duga menjerihkan oleh Senat, badan legislatif AS. Setiap hakim akan dipersoalkan atas pelbagai perkara termasuk keputusan, pendirian dan peribadi mereka. Hanya selepas Senat meluluskan, barulah hakim mahkamah agung dilantik.

Mungkin ramai tertanya bukankah ini bermakna mahkamah tidak dilihat bebas daripada pengaruh Eksekutif dan Legislatif. Tetapi persoalan pokok ialah jika bukan Legislatif atau Eksekutif, siapa akan melantik hakim?

Sistem pelantikan hakim AS ini menarik kerana membabitkan Eksekutif dan Legislatif tetapi kehakiman AS masih dipandang bebas dan ulung.

Berdasarkan kepada sistem AS ini, ia sebenarnya membenarkan hakim dilantik dipilih mengikut nilai dipegang majoriti. Misalnya, apabila wakil Republikan menjadi Presiden dan memiliki majoriti di Senat, mereka melantik hakim berkecenderungan konservatif.

Jika Demokrat pula, yang bersifat lebih liberal, kesannya dapat dilihat kini dalam keputusan Mahkamah Agung AS menolak hak kebebasan menggugurkan kandungan apabila majoriti hakim mahkamah adalah konservatif. Sebelum itu, sudah berpuluh tahun mahkamah mengiktiraf hak pengguguran bayi.

Cara ini sebenarnya membuat sistem demokrasi AS dinamik dan utuh. Rakyat yang tidak puas hati dengan keputusan pengharaman pengguguran misalnya akan bergerak dan mengundi wakil Demokrat supaya menjadi majoriti di Senat. Yang konservatif pula akan memastikan Republikan mengawal Senat.

Rakyat AS tahu ia mempunyai kuasa mengubah hala tuju mereka. Ini juga menjadikan badan kehakiman tidak jauh dengan nilai masyarakat majmuk.

Mungkin sebab itu rakyat AS mampu menerima sistem sebegini dan menganggap ia satu sistem adil melantik hakim. Dalam hal ini, jelas sistem AS membabitkan Eksekutif dan Legislatif.

United Kingdom (UK) pula mengambil pendekatan berlainan. Negara itu mewujudkan JAC sejak 2005. Pesuruhjaya adalah lantikan atas syor badan kehakiman. Namun, apa yang menarik ialah JAC tidak dikawal badan kehakiman.

Pakar bedah ketua JAC UK

Ketua JAC mesti terdiri daripada orang biasa dan sekarang ini adalah seorang pakar bedah. JAC pula mempunyai 15 pesuruhjaya dan lebih separuh hendaklah terdiri daripada orang biasa.

Majlis peguam dan persatuan undang-undang di UK tiada hak untuk memilih pesuruhjaya, walaupun dua darinya adalah peguam.

Bagaimana pula di Malaysia? Di bawah Akta JAC, lima pesuruhjaya adalah daripada badan kehakiman yang mana satu daripadanya dinamakan oleh Perdana Menteri, manakala empat lagi mereka yang berwibawa dilantik Perdana Menteri selepas berunding dengan majlis dan persatuan peguam.

Dari segi kewujudan JAC di Malaysia, ia mengikut amalan UK, tetapi komposisinya terdiri daripada orang awam bukan menjadi amalan di negara kita. Pengerusi JAC adalah Ketua Hakim Negara dan bukan orang biasa seperti di UK. Dari segi dinamakan Eksekutif, kita mengikut cara AS, tetapi tiada proses untuk menemuduga hakim dan kemudian diluluskan Parlimen.

Justeru, ke mana haluan kita dalam soal pelantikan ahli JAC? Adakah wajar Majlis Peguam dan persatuan undang-undang diberi kuasa melantik?

Dalam hal ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dari segi memberi platform kepada hakim yang mewakili aspirasi rakyat dapat dilantik oleh kerajaan memerintah pada hari ini, tetapi hanya dalam kalangan tokoh berwibawa untuk menjadi ahli JAC.

Namun, bagi memperbaiki sistem ini, konsultasi Perdana Menteri boleh ditambah baik dengan merujuk kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen sebelum dilantik.

Proses konsultasi ini juga masih jelas, tetapi proses ini lebih telus kerana perbincangan perlu dibukukan dan/atau disiarkan mengikut peraturan sedia ada.

Secara umum, Majlis Peguam dan persatuan undang-undang adalah badan mempunyai ‘elemen sangsi’ untuk melantik ahli JAC iaitu mereka mungkin cenderung untuk memilih mana-mana ahli mereka. Mereka juga mungkin tidak mewakili aspirasi nilai rakyat umum dan atau berdepan dengan konflik kepentingan.

Dalam hal ini, Majlis Peguam sering mengambil pendirian ideologi liberal yang juga pandangan minoriti dan dengan itu sering didakwa mengambil pendirian berpolitik. Mereka tidak boleh dikatakan mewakili nilai rakyat umum seperti dalam sistem AS dan UK, sebaliknya akan cenderung memilih mereka mewakili sebahagian kecil masyarakat.

Keduanya, badan peguam terdiri daripada mereka yang masih beramal sebagai peguam bela di mahkamah. Tugas JAC bukan sahaja melantik hakim mahkamah tinggi yang baharu, tetapi mencadangkan pelantikan hakim mahkamah atasan seperti Mahkamah Persekutuan dan juga mencadangkan lantikan ketua hakim.

Justeru, mungkin tidak betul dan tidak adil jika peguam yang muncul di hadapan mana-mana hakim di mahkamah, akan juga menentukan kenaikan pangkat hakim berkenaan. Ini akan menjadi keputusan memihak, sekali gus menimbulkan konflik.

Kes di mahkamah juga akan dilihat tidak adil dan dipengaruhi anasir luar. Ini perlu elakkan apabila Majlis Peguam atau persatuan peguam dibenarkan melantik ahli mereka. Keadilan pasti tidak dapat ditegakkan jika amalan ini dibenarkan.

Lukman Sheriff Alias
Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)

*Disiarkan dalam Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *