Views

Pemeliharaan Etika Majikan – Ku Amirul Faiz Ku Seman

KITA sering sekali mendengar kisah-kisah pekerja yang ditindas oleh majikan. Antara aduan yang timbul adalah berkenaan dengan kerja lebih masa, cuti materniti serta perlanggaran hak asasi seperti hak beragama dalam kalangan pekerja. Lalu, timbul persoalan bagaimanakah undang-undang boleh menjadikan majikan seseorang yang beretika dalam menjamin hak-hak pekerja?

Hubungan majikan dan pekerja boleh wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya melalui kontrak pekerjaan. Walau bagaimanapun, kontrak pekerjaan bukanlah satu bentuk kontrak yang lazim kita amalkan. Ini memandangkan ada saja majikan yang enggan memeterai kontrak pekerjaan kerana tidak boleh mempunyai terma yang lebih rendah daripada piawaian dalam peruntukkan Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Akta 265 secara ideal bertujuan untuk melindungi pekerja dengan penetapan piawaian minimum berkaitan hak pekerja. Ini jelas boleh dilihat kepada beberapa peruntukan-peruntukan yang penting seperti sekyen 60E Akta 265 yang memperuntukkan cuti tahunan, seksyen 60A Akta 265 berkenaan dengan jam bekerja dan seksyen 37 Akta 265 yang berhubung cuti materniti bagi pekerja wanita.
Selaras dengan itu, terma-terma dalam kontrak pekerjaan yang disediakan tidak boleh mengurangi peruntukan statutori yang digariskan oleh Akta 265. Sekiranya ia bercanggah, kontrak berkenaan adalah tidak sah dan pekerja boleh membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Meskipun begitu, dalam membincangkan etika majikan terhadap pekerja, Akta 265 tidak dinyatakan sepenuhnya bagaimana seorang pekerja harus dilayan oleh majikan.

Etika dalam perundangan bukan satu kewajipan tetapi satu bentuk ‘amalan terbaik’ atau ‘best practice’ begitu juga dalam isu pekerja. Justeru majikan yang patuh tidak semestinya majikan yang beretika tetapi majikan yang beretika merupakan majikan yang patuh kepada undang-undang.

Majikan yang beretika bukan sahaja mematuhi Akta 265 tetapi peruntukan undang-undang lain yang berkenaan dengan pekerja. Antara akta yang berkait rapat dengan pekerja adalah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 [Akta 452] dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4]. Dua akta ini merupakan akta yang perlu dipatuhi oleh majikan dan sebarang ketidakpatuhan majikan terhadap peruntukan di bawah akta-akta ini, sudah pasti akan memungkinkan majikan diheret ke mahkamah. Ini tidak lain bertujuan memberi perlindungan dalam bentuk kewangan kepada pekerja.

Selain daripada itu, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] juga menggariskan tanggungjawab statutori majikan dalam menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja selain mempromosikan suasana pekerjaan yang boleh diterima oleh pekerja dan memenuhi keperluan psikologikal. Akta ini, ringkasnya, menyatakan peranan majikan dalam menyediakan latihan, pemantauan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa menjalankan pekerjaan.

Namun berbeza dengan akta-akta yang disebutkan di atas, tidak semua jenis pekerjaan tertakluk di bawah Akta 514. Hanya sebahagian industri sahaja yang mewajibkan pemakaian Akta 514 ini. Senarai industri-industri ini adalah seperti di Jadual Pertama Akta 514 yang antaranya adalah industri-industri seperti pengilangan, perlombongan, pengangkutan, perdagangan borong dan runcit.
Walau bagaimanapun, etika majikan terhadap pekerja boleh juga dilihat dalam tanggungjawab majikan menjamin hak-hak asasi pekerja. Misalnya jaminan daripada sebarang bentuk diskriminasi baik dari sudut jantina, keturunan ataupun agama. Tanggungjawab ini tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan undang-undang tetapi ia merupakan salah satu amalan terbaik majikan. Majikan juga perlu menyediakan suasana pekerjaan yang selamat dan harmoni yang bebas daripada gangguan seksual, gangguan fizikal dan mental seperti makian, cercaan dan penghinaan terhadap pekerja. Ini juga tidak dinyatakan dalam statut tetapi merupakan antara amalan yang perlu diamalkan oleh majikan bagi menjamin keharmonian tempat kerja.

Sebagai timbal balas kepada peranan yang dimainkan oleh majikan, pekerja sebagai pihak kepada hubungan kontrak ini juga perlu mempunyai etika terhadap majikan. Antaranya dengan menjalankan tugas yang diberikan dengan baik dan amanah, mematuhi arahan yang tidak bercanggah dengan undang-undang, dan memelihara nama baik majikan.

Tuntasnya majikan yang beretika akan mematuhi segala peruntukan undang-undang dan memastikan suasana menang-menang di antara majikan dan pekerja. Pada masa yang sama pekerja yang beretika juga akan memastikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh majikan dipelihara dan dilakukan dengan baik. Dengan pemahaman tersebut, hubungan industri akan bertambah baik dan lebih harmoni.

Ku Amirul Faiz Ku Seman
Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *