Media

MACSA pandang serius isu rakyat tanpa negara di Sabah (Bernama)

LAHAD DATU: Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) memandang serius isu ratusan ribu rakyat tidak bernegara di Sabah dan menggesa semua pihak agar mengambil peranan aktif menangani masalah itu.

Berita turut disiarkan dalam Kosmo 31 Julai 2018.

Pengerusinya Azril Mohd Amin berkata masalah tersebut memerlukan penyelesaian jangka panjang dan secara komprehensif bagi memastikan fenomena yang sudah berlarutan sekian lama itu tidak terlepas pandang serta berterusan pada masa akan datang.

“Menerusi laporan berita, tidak kurang daripada 800,000 rakyat yang tidak berkewarganegaraan di Sabah. Bagi MACSA sendiri, sebenarnya kita cenderung untuk melihat kemungkinan kerajaan menandatangani Konvensyen Tanpa Kewarganegaraan sebagai antara penyelesaian isu ini.

“Selain itu, kita lihat bagaimana undang-undang domestik lebih jelas untuk menangani isu ini. Selain kerangka perundangan, kita juga mahu kerangka hak asasi manusia yang jelas untuk disampaikan kepada pihak-pihak berkuasa. Perlu ada mekanisma menyelesaikan masalah mereka tanpa dokumen ini kerana anak-anak mereka perlukan pendidikan.

“Mereka perlukan akses kepada pendidikan seperti sekolah dan kemudahan kesihatan. Jadi isu ini serius bagi kami kerana ia menjejaskan banyak perkara termasuk aspek keselamatan. Kita tidak tahu status mereka kerana mereka bukan warganegara,” katanya kepada Bernama.

Azril ditemui ketika mengetuai tujuh anggota delegasi daripada MACSA, iaitu gabungan 49 pertubuhan bukan kerajaan di negara ini, melawat Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Tagupi, Tambisan, Lahad Datu di sini.

PPMI yang diuruskan pertubuhan bukan kerajaan dan terletak lebih 100 kilometer dari bandar Lahad Datu serta terpencil itu, menempatkan 303 pelajar pelbagai peringkat umur untuk mengikuti pembelajaran asas seperti membaca dan mengira kendalian lapan guru sukarelawan.

Berita turut disiarkan dalam Kosmi 2 Ogos 2018.

Kesemua kanak-kanak itu tidak dapat memasuki sekolah aliran arus perdana atau sekolah kerajaan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri akibat ibu bapa mereka sendiri menghadapi masalah dokumen itu, katanya.

Beliau berkata pihaknya memberikan fokus kepada isu rakyat tidak bernegara ini dan ia telah dimasukkan dalam laporan yang dihantar ke Majlis Hak Asasi (HRC) di Geneva pada 29 Mac lepas.

Mengenai tinjuan itu, Azril berkata MACSA ingin melihat sendiri situasi orang tidak bernegara di Sabah untuk mengukuhkan lagi dapatan kajian penyelidikan organisasi itu sebelum ini yang dibuat berdasarkan maklumat diperoleh daripada pertubuhan bukan kerajaan lain untuk dibawa kepada kerajaan pusat.

“Kita mengambil pendekatan membantu kerajaan. Sebenarnya dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva itu, kerajaan sendiri adalah pemegang hak semasa sesi itu nanti. Kami ingin membantu kerajaan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Malaysia selaku negara anggota PBB menerima 232 syor oleh 104 negara anggota lain (yang mana 150 syor diterima dan baki 82 ditolak) serta dikehendaki mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan 150 syor tersebut pada Kitaran Ketiga UPR, yang dijadualkan berlangsung November ini di HRC, Geneva.

*Disiarkan dalam Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *