FeaturedMedia

Kes Iki Putra: 200 peguam gesa pindaan Perlembagaan (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra Mubarak.

Menerusi kenyataan bersama mereka menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra melawan Kerajaan Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Menurut mereka, dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza daripada keputusan sebelum ini, sekali gus mengehadkan lagi bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah.

“Dengan keputusan ini, kami bimbang makin banyak lagi peruntukan enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang sedia ada bakal dicabar dan dibatalkan atas alasan yang sama.

“Akhirnya ia boleh melumpuhkan sistem jenayah Islam di seluruh negeri-negeri yang ada,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias; Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang mewakili kumpulan peguam berkenaan.

Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Menurut kenyataan itu, kes Iki Putra jelas menunjukkan bahawa walaupun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal kesalahan undang-undang mengikut ‘perintah ajaran agama Islam’, tetapi undang-undang ini tidak boleh menyentuh mana-mana perkara ‘Senarai Persekutuan’ termasuklah ‘Undang-undang Jenayah’.

“Ungkapan ‘Undang-Undang Jenayah’ di bawah Senarai Persekutuan mempunyai maksud yang luas yang boleh mengakibatkan pembatalan banyak peruntukan jenayah syariah negeri jika dicabar kelak.

“Walaupun tidak wujud atau tiada apa-apa pertindihan dengan mana-mana undang-undang Persekutuan sedia ada, undang-undang jenayah syariah negeri tetap tidak sah jika menyentuh perkara Senarai Persekutuan terutamanya perkara ‘Undang-undang Jenayah’.

“Apa-apa pindaan yang bakal dibuat dalam mana-mana peruntukan enakmen jenayah syariah untuk mengatasi kes Iki Putra masih tetap tidak sah, jika isi kandungannya menyentuh perkara ‘Undang-undang Jenayah’,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, kes berkenaan juga membawa kepada ketidaktentuan bidang kuasa dan menimbulkan keadaan di mana tiada badan legislatif sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri boleh menggubal undang-undang yang menghalang umat Islam melakukan perkara haram dalam syariah.

“Contohnya, kesalahan berjudi jelas haram dalam Islam. Tetapi kesalahan berjudi ini tergolong dalam perkara “Undang-undang Jenayah” Senarai Persekutuan.

“Oleh itu, mengikut kes Iki Putra, kesalahan berjudi di bawah enakmen-enakmen negeri boleh dan bakal dibatalkan jika dicabar kelak.

“Negeri tiada kuasa menggubal undang-undang berkenaan perjudian. Permasalahan yang timbul ialah Persekutuan pula tidak boleh menggubal apa-apa perkara dalam Senarai Negeri termasuklah undang-undang berkenaan kesalahan mengikut ajaran agama Islam.

“Kes Iki Putra menimbulkan keadaan di mana kedua-dua badan legislatif persekutuan dan negeri tidak boleh menghalang umat Islam khususnya dari berjudi di negeri-negeri. Ini akan juga terpakai untuk kesalahan jenayah yang lain. Ini satu keadaan yang amat “absurd”,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu kumpulan peguam itu berpendapat tiada penyelesaian yang sesuai, kecuali Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan segera yang mungkin.

“Perlembagaan perlu dipinda sekurang-kurangnya kepada keadaan sebelum keputusan Iki Putra,” katanya.

*Disiarkan dalam Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *