MACSA diwakili oleh saudara Azam Asri dan Akbar Abd Rahman telah menghadiri taklimat yang dikelola oleh gerakan Bantah TPPA berkenaan ‘Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership’ (“CPTPP”).
Lima tahun lepas, perjanjian ‘Trans Pacific Partnership Agreement’ (“TPPA”) telah membuka mata ramai pihak berkenaan perjanjian yang akan merugikan Malaysia. Seperti TPPA, CPTPP mempunyai perjanjian yang sama kecuali 22 peruntukan telah digantung kerana negara USA telah keluar dari pakatan ini. CPTPP akan memberikan impak yang sangat besar kepada negara dalam pelbagai aspek terutamanya dari segi peluang ekonomi kepada pemain tempatan dan kedaulatan undang-undang negara.
Secara ringkasnya, perjanjian ini membuka pintu perdagangan pasaran bebas atau “free-trade” antara negara di dalam pakatan ini. Pihak kerajaan perlu memastikan meraka membuat dasar mesra pelabur dan perdagangan bebas dan tidak dibenarkan untuk melaksanakan dasar perlindungan (protectionisme) kepada syarikat-syarikat tempatan termasuklah Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sekiranya CPTPP diratifikasi, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menukar segala undang-undang tempatan berkaitan bagi menepati penjanjian CPTPP.
Ini membuka peluang kepada syarikat luar negara untuk memasuki pasaran tempatan dan akan menyebabkan peniaga dan usahawan di dalam negara kita terutamanya PKS terpaksa bersaing dengan pemain-pemain industri besar dari negara lain yang mempunyai modal, teknologi dan tenaga buruh yang lebih maju dan efektif.
Dasar untuk melindungi syarikat tempatan akan terhad kerana pasaran Malaysia akan terbuka dan bebas untuk diratah oleh syarikat dari luar negara. Tender kerajaan yang menawarkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan di Malaysia juga akan menjadi sangat terhad dan selebihnya akan dibuka kepada syarikat luar.
Pengusaha ladang yang menghasilkan bekalan makanan untuk negara selama ini akan bersaing dengan pengusaha ladang dari negara seperti Thailand yang kita sedia maklum mempunyai penghasilan yang jauh lebih banyak dan murah. CPTPP berkemungkinan besar akan mendominasi pasaran makanan kita dan menyebabkan pengusaha ladang kita hilang tempat untuk memasarkan produk mereka. Tahap keterjaminan dan kedaulatan makanan kita akan terkesan melalui perjanjian ini.
Kita tidak menafikan terdapat kesan baik di dalam perjanjian ini seperti peluang pasaran yang lebih besar untuk pengusaha dan usahawan tempatan. Tetapi hasil kajian dari UNCTAD mendapati CTPPA akan meningkatkan hasil import kita sebanyak RM10 bilion manakala hasil eksport hanya meningkat sebanyak RM516 juta, jurang defisit perdagangan yang begitu besar.
Apa yang paling merisaukan adalah dengan menyertai CPTPP, pihak swasta boleh mengambil tindakan undang-undang yang kepada pihak kerajaan sekiranya didapati terdapat tindakan yang tidak memberikan peluang terbuka dan adil kepada pelabur dan syarikat, mencabar kedaulatan negara. Ini termasuklah sekiranya kerajaan bertindak mengambil tindakan afirmatif bagi melindungi pasaran tempatan, mahupun tindakan kecemasan dan gawat seperti Covid-19 yang melanda negara.
Kita berharap agar pihak kerajaan Malaysia tidak memberikan komitmen kepada perjanjian ini dan membuka sesi dailog terbuka dan telus dengan pelbagai pihak terutamanya NGO dan pusat-pusat kajian dasar. Kita masih mempunyai kaedah dan alternatif perjanjian perdagangan yang lain yang lebih selamat dan terjamin.
Azam Asri & Akbar Abd Rahman
Jawatankuasa Pusat MACSA